top of page
nabalunews

Sambutan Luar Biasa Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah - Armizan



21 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang diadakan selama tiga hari di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk Sabah dan berjaya mencapai sasaran pengunjung melebihi 400,000 orang.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Armizan Mohd Ali berkata sambutan amat luar biasa, ini menggambarkan bahawa masyarakat benar-benar menginginkan program seumpama ini kerana mereka boleh pergi satu tempat dan boleh mendapat maklumat.


Beliau berkata maklum balas rakyat itu penting bagi membolehkan kerajaan menambah baik perkhidmatan jabatan serta agensi terlibat, terutama dalam membawa semua perkhidmatan kerajaan dalam satu tempat dengan konsep one stop centre.


“Saya juga turun berjumpa pempamer, petugas dan pengunjung mendengar sendiri maklum balas daripada masyarakat kita. Selain jabatan serta agensi kerajaan juga dapat berinteraksi kerana maklum balas daripada masyarakat itu penting untuk kita tambah baik perkhidmatan.


“Penting juga sampaikan mesej penerangan dan program kerajaan bagi dapatkan maklum balas bagaimana tambah baik program-program terlibat, macam mana kerajaan tambah baik pelaksanaan dan nilainya itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat program berkenaan, lapor Bernama.


Armizan berkata program berkenaan mungkin akan diperluaskan ke negeri dan kawasan tidak tersenarai pada tahun ini bagi membolehkan kesan Program MADANI Rakyat dinikmati oleh rakyat di seluruh negara.


“Contohnya di Zon Sabah tahun ini, penganjuran diadakan di Kota Kinabalu. Tahun depan mungkin bandar lain seperti Tawau dan Sandakan boleh dipertimbangkan untuk penganjuran progran ini,” katanya.


Zon Sabah merupakan zon keenam serta pelengkap Program MADANI Rakyat tahun ini, selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.


Bagi Zon Sabah, pelaksanaan program melibatkan kolaborasi strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju, serta kerajaan Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Sementara itu, mengulas mengenai Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, Armizan berkata inisiatif itu juga memerlukan kerjasama daripada rakyat untuk direalisasikan dengan baik.


“Ia melibatkan pelbagai agensi seperti penguatkuasaan di sempadan bagi mencegah ketirisan dan sebagainya tetapi rakyat amat diperlukan sebagai mata dan telinga untuk membuat aduan mengenai salah laku ketirisan ini,” katanya.


Beliau berkata GEMPUR memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan memastikan bantuan terutama subsidi sampai kepada golongan disasarkan dan tidak bocor kepada mereka yang mahu mengambil kesempatan.

Comments


bottom of page