Sambutan Pesta Kaamatan kukuhkan perpaduan, perkasa ekonomi setempat
- nabalunews
- 24 hours ago
- 1 min read

27 April 2025
PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja memperkukuhkan semangat perpaduan, malah menjadi platform memperkasakan ekonomi tempatan melalui Jualan MADANI dan program keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, penganjuran sambutan ini menjadi lambang kebersamaan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
“Walaupun Pesta Kaamatan Peringkat Negeri belum dilancarkan, tetapi inilah semangat kita untuk menyambut Pesta Kaamatan yang bukan sekadar pesta, tetapi satu manifestasi kesyukuran, kebersamaan dan semangat komuniti yang menjadi teras kekuatan budaya kita di Sabah.
“Ia juga merupakan ruang terbaik untuk memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
“Malaysia adalah tentang kebersamaan iaitu kebersamaan wilayah-wilayah yang membentuk persekutuan ini dan kebersamaan etnik-etnik rakyat majmuk di negara ini, semuanya ada hak dan peranan bersama,” katanya.
Ewon berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik SUPOL) beliau, Carl Moosom pada Sambutan Pesta Kaamatan Kg.Pinapah Kondis, di sini, kelmarin.
Ewon turut memuji usaha pihak penganjur menjayakan sambutan ini yang turut memberi ruang kepada agensi kementerian mengadakan taklimat keusahawanan serta Jualan MADANI.
Beliau berkata, ambutan seperti ini adalah terjemahan kepada tema “Kaamatan Untuk Semua” yang mendorong kepada semangat toleransi, kerjasama dan saling menghormati dalam membangunkan negara.
Mengenai peranan kementerian, beliau memaklumkan beberapa inisiatif baharu telah diperkenalkan termasuk Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program BEEP PLUS.
Ewon berkata, kementeriannya melalui agensi seperti TEKUN Nasional, INSKEN, SKM dan SME Corp sentiasa bersedia membantu usahawan luar bandar agar lebih berdaya saing.
“Usaha ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk memastikan sambutan kebudayaan seperti Kaamatan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar dan pemberdayaan usahawan tempatan,” katanya.
Komentar