top of page
nabalunews

SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA DI SARAWAK HANYA SEHARI – JPBN



12 JAN 2021


KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak hanya dibenarkan pada hari pertama dengan kapasiti kehadiran seramai 20 orang pada satu-satu masa dan dihadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.


JPBN Sarawak berkata garis panduan terperinci mengenai sambutan itu boleh didapati di laman web rasmi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (mlgh.sarawak.gov.my).


“Bagi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk zon Kuching, Sibu dan Miri, ia telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak dalam portal rasmi MKN www.mkn.gov.my.


“Prosedur operasi standard (SOP) ini berkuat kuasa di zon Kuching, Sibu dan Miri pada tengah malam hari ini, bermula 12.01 tengah malam hingga 26 Jan 2021 pada 11.59 malam,” kata JPBN Sarawak dalam kenyataan.


Semalam, Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan zon Kuching melibatkan daerah Kuching, Kota Samarahan dan Serian, zon Sibu merangkumi daerah Sibu dan Sarikei, manakala Zon Miri meliputi daerah Miri.


Berkenaan operasi penjualan makanan dan minuman (F&B) panggung wayang, JPBN Sarawak berkata hanya bahagian F&B panggung wayang dibenar beroperasi sepanjang PKPB.


“Ini hanya merangkumi pembelian untuk dibawa balik dan penghantaran makanan seperti Food Panda dan Grab Food sahaja,” menurut kenyataan itu.


Kes positif COVID-19 di Sarawak pada hari ini masih kekal tiga digit dengan sejumlah 146 kes yang dilaporkan, berbanding 153 kes yang dicatat semalam.


Sibu menjadi kawasan paling tinggi kes positif COVID-19 dengan 92 kes; Sebauh (20); Kanowit (12); (Miri (11); Beluru (3); Kuching (3); Dalat (2); Saratok (1); Bintulu (1) dan Limbang (1). - Bernama

Comments


bottom of page