Sambutan Tahun Baharu Cina UPKO Kukuhkan Perpaduan – Ewon
7 Februari 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
INANAM: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata sambutan perayaan pelbagai kaum dan agama, termasuk Tahun Baharu Cina, merupakan wadah penting dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata, sambutan seperti ini bukan sekadar acara tahunan UPKO, tetapi juga satu inisiatif yang mencerminkan usaha berterusan parti dalam memelihara perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.
“Semoga kebersamaan rakyat melalui inisiatif ini terus bertambah padu. Inisiatif ini juga merupakan sumbangan UPKO kepada kebersamaan rakyat majmuk, perpaduan dan keharmonian kaum yang menjadi tradisi parti selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Sepanggar, di sini, semalam.
Sambutan Tahun Baharu Cina ini merupakan sebahagian daripada acara tahunan UPKO, yang sebelum ini turut meraikan Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Krismas sebagai lambang perpaduan nasional.
Ewon berharap sambutan seperti ini akan diteruskan dalam usaha memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin bagi memastikan rakyat Malaysia terus bersatu dalam kepelbagaian.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan sebagai pemimpin Sabah yang dipertanggungjawabkan menerajui kementerian itu, usaha membangunkan keusahawanan dan koperasi akan terus diutamakan selain usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.
“Sebab itu saya telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara berkaitan pembangunan keusahawanan.
“Dengan adanya perpaduan, kebersamaan dan keharmonian lebih mudah bagi kita sebagai pemimpin untuk memberi fokus kepada pelbagai program pembangunan untuk manfaat rakyat,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Peto Galim, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tan Lee Fatt, Pengerusi KRT Pekan Inanam, Datuk Wong Thien Fook dan pemimpin-pemimpin Malaysia dari Sabah yang lain, khususnya dari Sepanggar.
Comentarios