top of page
nabalunews

Sandakan Berpotensi Sebagai Tarikan Bandar Warisan Berprestij


10 November 2024

Oleh: Wartawan Nabalu News


SANDAKAN : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menegaskan bahawa usaha memulihara dan menyegarkan semula bandar Sandakan wajar diberi keutamaan memandangkan potensinya yang besar sebagai sebuah bandar warisan bersejarah di Sabah.


Menurut Hajiji, sejarah Sandakan sebagai "The Little Hong Kong" suatu ketika dahulu menggambarkan kekayaan budaya dan warisan bandar ini.


Katanya, Sandakan, yang pernah menjadi ibu negeri kedua Borneo Utara selepas Kudat, menyimpan pelbagai khazanah bersejarah yang masih kekal hingga kini.


“Kesan-kesan peninggalan bangunan bersejarah yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada inisiatif Jejak Warisan Sandakan sejak 2003 masih dapat dilihat hingga sekarang,” katanya.


Beliau yakin usaha ini mampu menjadikan Sandakan setanding dengan bandar warisan terkemuka seperti Pulau Pinang dan Melaka.


Selain mengangkat status Sandakan sebagai bandar warisan, usaha ini juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sandakan melalui sektor pelancongan yang lebih rancak.


Sehubungan itu, Hajiji menyeru agar semua pihak termasuk industri pelancongan, usahawan, penggiat seni, budaya dan sukan, badan bukan kerajaan (NGO), serta jabatan dan agensi kerajaan berganding bahu merealisasikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah.


Sandakan juga dikenali sebagai pintu masuk ke destinasi eko-pelancongan Sabah yang popular, seperti Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, dan Taman Pulau Penyu, yang telah menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.


Hajiji turut berharap Majlis Perbandaran Sandakan akan terus memainkan peranan proaktif bagi memastikan kebersihan dan keindahan bandar ini sentiasa terjaga, seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke bandar Sandakan.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Festival Sandakan kali ke-22 bertemakan "Simfoni Kepelbagaian" di Padang Bandaran Sandakan.


Antara yang hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum; ADUN Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Henry Idol; serta wakil dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.


Festival ini meriah dengan perarakan budaya yang melibatkan sepuluh etnik dari sekitar Sandakan, persembahan artis terkenal seperti Marsha Milan, Datuk Francis Landong, dan Den Bisa, serta pertunjukan bunga api dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta.


Menurut Hajiji, festival ini bukan sahaja memupuk perpaduan tetapi juga memperkenalkan kepelbagaian budaya Sabah yang unik kepada masyarakat umum dan para pelancong.


Dalam ucapannya, Henry berkata kepelbagaian budaya yang diraikan melalui festival ini adalah satu elemen penting dalam membentuk masyarakat Sandakan yang harmoni.


Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, serta Lembaga Pelancongan Sabah atas sokongan padu dalam memastikan kelestarian program pelancongan di Sandakan dapat diteruskan setiap tahun.


Menurut Henry, pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti Jejak Budaya Sandakan dan Jejak Selera Sandakan adalah langkah strategik untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi bandar ini serta memenuhi keperluan dan permintaan pelancong.


Majlis Perbandaran Sandakan juga berusaha memastikan kebersihan dan keselamatan bandar berada di tahap terbaik untuk keselesaan pengunjung.


"Semua inisiatif ini bertujuan menjadikan Sandakan kembali gemilang seperti era 'The Little Hong Kong' suatu ketika dahulu," tambahnya.

Comments


bottom of page