top of page

Sanggup tinggal motosikal elak ditahan

nabalunews

4 Februari 2025


KOTA MARUDU: Dua lelaki nekad lari meninggalkan motosikal bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa dalam kejadian, di sini, Ahad lalu.


Bagaimanapun, aksi mereka melarikan diri sempat dirakam pemandu kenderaan lain sebelum dimuat naik di media sosial.


Gelagat lelaki berkenaan yang berlari lintang-pukang ketika dikejar kereta polis menimbulkan pelbagai reaksi dan komen daripada netizen.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, insiden berlaku ketika tugasan rondaan dan pemantauan sempena Op Selamat 23, di Jalan Rakit dan Jalan Sumbilingon, di sini.


Katanya, pasukan operasi menyedari kehadiran sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.


“Ketika cuba dihampiri, kedua-dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka.


“Kedua-dua suspek dapat melarikan diri ke kawasan hutan dan terus menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Simiun berkata, tiada kemalangan atau tangkapan dibuat dan pasukan polis hanya merampas motosikal yang ditinggalkan untuk tindakan lanjut.


“Pemilik motosikal sudah dikenalpasti dan saman juga telah dikeluarkan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Simiun berkata, pengguna jalan raya khususnya di daerah ini dinasihati supaya tidak bertindak melarikan diri ketika diperiksa kerana dibimbangi akan mengundang risiko kemalangan.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page