Santai Malam Slingshot: Satu Langkah Proaktif Kukuhkan Jaringan Belia Luar Bandar
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

19 April 2025
RANAU: Semangat kebersamaan dan keterlibatan belia luar bandar terserlah dalam program komuniti Slingshot Santai Malam yang telah berlangsung di Dewan Kampung Lasing, Ranau, semalam 18 April.
Program ini hasil kolaborasi antara Togudon Lasing Sinarut (TLS) dan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau, berjaya mencipta platform inklusif untuk anak muda menyuarakan aspirasi mereka dalam suasana yang santai dan mesra komuniti.
Kehadiran Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George, merasmikan program bagi pihak Ketua Pemuda UPKO Ranau, Leester Dalimon.
Dalam ucapannya, Georgina menegaskan bahawa usaha seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan perpaduan, membina sahsiah belia dan memperkasakan komuniti melalui pendekatan yang lebih mesra dan menyeluruh.
Menurut beliau, Program Slingshot Santai Malam bukan sekadar aktiviti riadah atau hiburan semata-mata, malah merupakan satu pendekatan strategik dalam memperkuat jaringan sosial dan pemerkasaan belia luar bandar. Inisiatif ini memberi ruang kepada golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka, berdialog secara langsung dengan pemimpin setempat serta merancang hala tuju program komuniti yang lebih progresif.
Georgina turut merakamkan, syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Slingshot Santai Malam – sebuah program yang menyatukan santai dan semangat komuniti dalam satu malam yang penuh inspirasi.
Pihak penganjur pula menjelaskan, objektif utama program adalah untuk membina persekitaran positif yang mampu menyemai nilai kepimpinan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda. Ia juga dilihat seiring dengan agenda kerajaan negeri dan pusat dalam memperkukuh pembangunan modal insan luar bandar.
Apa yang menjadikan program ini unik adalah pendekatannya yang tidak terlalu formal, membolehkan para belia berinteraksi secara lebih terbuka dan selesa, sambil mengembangkan potensi mereka melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti komuniti.
Program seumpama ini wajar diteruskan dan diperluas ke kawasan luar bandar lain di Sabah, malah seluruh negara, agar semangat belia dapat terus diperkasa melalui pendekatan yang lebih inklusif dan mesra komuniti.
Komentari