Sarawak Bekal 30MW Elektrik Ke Sabah Menjelang Hujung Tahun Ini
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

22 April 2025
KOTA KINABALU: Sarawak dijangka akan memulakan operasi pembekalan tenaga elektrik ke Sabah menjelang hujung tahun ini selepas siapnya projek Northern Grid Extension di negeri jiran itu.
Fasa pertama pengeksportan tenaga itu akan melibatkan kekuatan 30 Megawatt (MW) dan boleh dinaikkan sehingga 80 MW, namun tertakluk kepada kemampuan grid di Sabah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, berdasarkan kepada kemajuan terkini, projek Northern Grid Extension sudah berada di peringkat akhir.

Katanya, penambahan jumlah bekalan elektrik itu akan dapat dilaksanakan selepas pembinaan grid di utara Sarawak siap sepenuhnya.
“Pada asalnya kita bersetuju untuk membekal 30MW kepada Sabah, tertakluk kepada siapnya grid yang di bahagian utara Sarawak dan apabila siap nanti insyaAllah kita boleh membekalkan 30 MW.
“Kita boleh tingkatkan kepada 50 MW dan kalau perlukan penambahan mungkin kita boleh pertimbangkan kepada 80 MW bergantung kepada kemampuan grid di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Energy Commission of Sabah (ECoS) dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan Pelancaran Program TVET angkat ECoS Sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS Di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Menurutnya, Sarawak juga mempunyai perancangan jangka masa panjang dengan mensasarkan Sarawak sebagai salah satu hub tenaga elektrik ke negara Asean.
Katanya, Sarawak turut mensasarkan untuk membekalkan bekalan elektrik ke Singapura yang mempunyai jumlah kapasiti yang kepada 1000 MW.
“Selepas kita melihat grid di Kepulauan Borneo, kita boleh melihat untuk jangka panjang seperti yang disasarkan dan dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Kita pun sudah mempunyai sasaran untuk membekalkan bekalan elektrik ke Singapura yang mempunyai capping 1000 MW.
“Dan satu lagi ialah 1000 MW ke Semenanjung Malaysia, maknanya kita akan gunakan subsea cable daripada Kuching ke Singapura dan juga daripada Kuching ke Semenanjung Malaysia.
“Maknanya, later on kita akan menjadi insyaAllah hub tenaga untuk bukan sahaja untuk Borneo tetapi juga untuk Malaysia dan ASEAN in the near future, that is our long term plan”
Julaihi berkata, untuk perancangan jangka masa panjang itu memerlukan kajian secara menyeluruh bagi memastikan kemampuan dan kebolehlaksanaannya.
Comentarios