top of page
nabalunews

Satu lagi kes doktor mati disyaki dibuli




17 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu lagi kes kematian yang melibatkan seorang pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, yang didakwa berpunca daripada masalah buli semasa menjalankan tugas.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, mendedahkan bahawa sejurus aduan diterima mengenai insiden tersebut, pihak KKM telah memulakan siasatan dalaman secara terperinci.


Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti kes terbabit secara menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil.


"Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.


"Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan," katanya.


Beliau mengulas dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan doktor, mengakibatkan kejadian sedemikian kerap berulang ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Comments


bottom of page