top of page

Sebahagian besar fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak terjejas banjir beroperasi semula

nabalunews

3 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Sebilangan besar fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak telah kembali beroperasi selepas banjir yang melanda kedua-dua negeri itu, dengan 22 daripada 30 fasiliti di Sarawak serta kesemua 27 fasiliti di Sabah telah dibuka semula.


Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat.


“37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah telah dikerahkan ke PPS,” menurut kenyataan itu.


Setakat ini, seramai 9,379 penduduk terjejas telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS. Daripada jumlah itu, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan termasuk 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis, serta satu kes Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut.


“Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19, dan kejadian wabak dilaporkan di PPS,” tambah kenyataan tersebut.


Selain itu, Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) turut digerakkan, terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik, serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.


Pelbagai aktiviti intervensi seperti teknik relaksasi, ekspresi seni, serta psiko-pendidikan turut dijalankan.


KKM juga memaklumkan bahawa tiada mangsa banjir yang dikesan mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.


Bagaimanapun, kementerian itu menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mengambil langkah untuk mencegah penyakit berjangkit.


“Orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau maklumat cuaca terkini, serta menyiapkan peralatan dan dokumen penting sekiranya perlu berpindah.


“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dengan segera sekiranya menghadapi tekanan emosi,” menurut kenyataan itu lagi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page