top of page
nabalunews

Sebarang Bentuk Perlindungan Akan Jejaskan Perdagangan, Pelaburan - PM Anwar




13 November 2024


KUALA LUMPUR : Perlindungan perdagangan dalam apa jua bentuk boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan dan pelaburan bagi sesebuah negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam wawancara bersama Richard Quest di CNN baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa, sebagai contoh, sebilangan besar mikrocip yang dihasilkan di Malaysia dieksport ke Amerika Syarikat (AS), yang menyumbang sebanyak 26 peratus daripada eksport tersebut.


“Sama ada kami menyertai BRICS atau tidak, dasar perlindungan akan memberi kesan kepada kami. Maksud saya, sebilangan besar mikrocip dan semikonduktor dieksport ke AS dan sudah pasti (sebarang langkah perlindungan) akan menjejaskan kami,” kata beliau dalam klip wawancara yang dimuat naik di akaun Quest menerusi platform X, pada Selasa, menurut laporan Bernama.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS pada Khamis lepas, yang mungkin membawa kepada pengenalan dasar perlindungan pada masa hadapan, boleh menjejaskan Malaysia.


Trump sekali lagi memenangi pilihan raya itu, selepas menjadi Presiden AS ke-45 bagi tempoh 2017 hingga 2021.


Menurut laporan berita baru-baru ini, janji yang diberikan oleh Presiden AS itu untuk mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar di seluruh dunia.


Sementara itu, mengenai BRICS, Anwar mengulangi bahawa kepentingan Malaysia dalam organisasi antara kerajaan itu, sebahagian besarnya adalah dalam hubungan ekonomi dan perdagangan susulan potensinya yang besar dengan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan.


“Kami telah mendapat manfaat yang amat besar daripada kerjasama dengan AS dan Eropah, dan kini China sedang berkembang, justeru dengan BRICS, kami membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” kata beliau.


Pada 24 Okt, 2024, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai negara rakan BRICS, bersama dengan 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan, dan Vietnam.


BRICS, yang pada mulanya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun.


Afrika Selatan menyertai organisasi itu pada 2010, dan BRICS kemudian berkembang dengan merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.


BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul sebanyak US$26.6 trilion (US$1=RM4.43) atau 26.2 peratus kepada KDNK global, hampir setara dengan kekuatan ekonomi negara-negara Group of Seven (G7).

Comments


bottom of page