top of page
nabalunews

Sebuah kedai runcit gagal letak tanda harga dikompaun RM300


2 Januari 2025


SANDAKAN: Pemilik sebuah kedai runcit di Kampung Sim-Sim, Sandakan dikompaun RM300 kerana telah gagal meletakkan tanda harga ke atas minuman berkarbonat pelbagai perisa sebanyak 20 botol dengan berat 330ml sebotol yang dipamerkan untuk dijual di premis perniagaan terbabit.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata, kompaun yang dikeluarkan adalah mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.


Jelasnya, bertindak ke atas aduan pengguna melalui Portal E-Aduan KPDN mengenai premis perniagaan yang tidak meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual, sepasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN yang diketuainya telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan yang diadukan.


Tambahnya, hasil pemeriksaan di salah sebuah kedai mendapati peniaga telah gagal meletakkan tanda harga ke atas minuman berkarbonat itu.


Azdy berkata, di bawah AKHAP 2011, jika sekiranya seseorang individu disabitkan kesalahan kerana gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual, ia boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000. 


Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.


Beliau menyatakan perkara itu menerusi satu kenyataan media di Sandakan pada Khamis.


Sementara itu, Azdy berkata, KPDN Cawangan Sandakan juga menasihatkan semua peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.


Ini terutamanya dari segi penandaan harga yang jelas dan tidak mengelirukan pengguna.


Dalam perkembangan lain, Azdy memaklumkan, sepanjang tahun 2024, KPDN Sandakan telah menjalankan 6,850 pemeriksaan premis perniagaan yang meliputi 4,274 pemeriksaan di bandar dan 2,576 pemeriksaan di luar bandar.


Jelasnya, sebanyak 185 kes telah dihasilkan dan jumlah nilai rampasan yang direkodkan adalah RM 3,310,219.89.


Manakala jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM 114,300. 


"Dari segi pendakwaan, sebanyak enam kes di KPDN Sandakan telah didakwa di mahkamah pada tahun 2024 dan pihak yang tertuduh bagi kes-kes berkaitan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda bagi lima kes adalah sebanyak RM80,000," ujar Azdy.


Sementara satu kes lagi dijatuhkan hukuman penjara bagi tempoh 12 bulan.


Jelas beliau, semua kes pendakwaan tersebut adalah tindakan kes yang telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 


Dari segi aduan pengguna, sebanyak 154 aduan telah diterima sejak 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024 di mana 149 aduan (96.75%) telah diselesaikan manakala baki 5 aduan (3.25%) lagi sedang dalam siasatan.


Azdy berkata, KPDN Cawangan Sandakan juga sentiasa mengalu-alukan apa-apa maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. 


Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan seperti berikut:


1) Whatsapp 019 848 8000


2) Portal E-Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my


3) Call Centre 1 800 886 800


4) Emel: e aduan@kpdn.gov.my 


5) Aplikasi Ez ADU KPDN


6) Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement 


Command Centre): 03 –– 8882 6088 / 6245


7) Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan.

Comments


bottom of page