Sebuah rumah musnah dalam kebakaran, tiada mangsa terlibat di Tenom
23 Disember 2024
TENOM: Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Labut Tinubai, Tenom, musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.
Insiden yang dilaporkan pada jam 12:11 pagi itu turut mengakibatkan kerosakan sebanyak 10 peratus pada sebuah kenderaan jenis Proton Saga LMST.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom yang terdiri daripada sembilan anggota tiba di lokasi pada jam 12:48 pagi, kira-kira 22 kilometer dari balai.
Operasi pemadaman kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1:18 pagi dan ditamatkan pada jam 1:52 pagi.
Komander Operasi, PBK II Shahril Sulaiman, memaklumkan bahawa kebakaran itu memusnahkan rumah berkeluasan 40x40 kaki tersebut 100 peratus.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian kebakaran, terutamanya semasa musim perayaan.
Comments