Sebuah rumah terbakar, tiada mangsa terlibat di Kg Pandasan
21 Disember 2024
KOTA BELUD: Sebuah rumah jenis kekal di Kampung Pandasan, Jalan Kudat, dilaporkan musnah dalam kebakaran petang semalam.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, kebakaran tersebut memusnahkan 70 peratus struktur rumah, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Menurut JBPM, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.53 petang melalui talian MERS999, dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang terdiri daripada sembilan anggota, tiba di lokasi pada jam 5.21 petang.
“Komander operasi, PBK II Hasmaddy Agum, melaporkan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 petang dan operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada 5.42 petang.
“Operasi menggunakan satu aliran hos ‘hose reel’ dari jentera bomba,” menurut kenyataan itu.
Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Bin Latun, memaklumkan bahawa operasi ditamatkan setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Comments