top of page
Writer's picture Rizoh Evied

SEGERAKAN AGIHAN BANTUAN KEPADA KIR GOLONGAN B40


Rizoh

16 Feb 2021


Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, kerajaan telah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) golongan B40 mengikuti kategori secara bersasar atau berperingkat.


Pengagihan bantuan makanan diselaraskan oleh Pejabat UPPM HQ dan dilaksanakan oleh pejabat UPPM dan pejabat ADUN melalui pemantauan pejabat Daerah (sebagai pengerusi PKOB). Hasilnya, semua KIR golongan B40 yang menetap dalam kawasan DUN Kadamaian menerima agihan bantuan bakul makanan tersebut.

Berikutan penularan Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri ini dan diteruskan dengan PKP 2.0 bermula 13 Jan 2021.


PKPB dan PKP menyebabkan ramai rakyat terjejas, termasuk tidak dapat meneruskan perniagaan kecil-kecilan, tidak dapat menjual hasil pertanian/penternakan, selain kehilangan pekerjaan.


Kerajaan mengagihkan bantuan bakul makanan hanya kepada keluarga dikuarantin dalam kawasan PKPB dan PKPD, walau pun golongan B40 juga turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Selepas pengumuman melanjutkan pelaksanaan PKP 2.0 pada 11 Jan 2021, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun dipetik sebagai berkata, kerajaan Sabah akan meneruskan pengagihan bakul makanan kepada kumpulan sasar melibatkan penduduk terjejas termasuk golongan B40. Peruntukan sebanyak RM31.58 Juta telah diluluskan dibawah program Bantuan Prihatin Covid 2.0 dan dijangka 315,000 KIR mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.


Laporan Rasmi Covid-19 Kerajaan negeri setakat 14 Feb 2021 menyatakan bahwa sejumlah 40,843 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan terkesan dibawah program Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.


Jumlah ini bertambah sebanyak 2,038 bakul makanan kepada 42,881 bakul makanan dalam laporan rasmi 15 Feb 2021, jumlah tersebut hanya melibatkan kurang 14 peratus dari jumlah sasaran KIR yang menerima.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir.Shahelmey Yahya dalam kenyataan akhbar pada 15 Feb menyatakan, pengagihan bantuan makanan itu melibatkan sembilan daerah iaitu Sandakan (32), Tawau (54), Semporna (192), Putatan (lima), Ranau (159), Sipitang (20), Keningau (300), Tenom (80) dan Pitas (1,196).

Pada 8 Februari lalu, Ir Shahelmey memaklumkan bahwa seramai 81,000 penerima dalam daftar e-kasih di Sabah akan menerima agihan bakul makanan melalui pusat kawalan operasi bencana daerah. Laporan bagi golongan ini tidak dinyatakan dalam laporan Rasmi Covid-19, sama ada dimasukkan dalam kiraan jumlah penerima atau tidak.


Walau pun keutamaan bantuan adalah golongan daftar e-kasih, namun golongan B40 ini juga turut terjejas teruk akibat Covid-19 dan pelaksanaan PKP 2.0. Jika sebelum ini golongan B40 turut menerima agihan bakul makanan secara berperingkat sebaik sahaja PKP 1.0 dilaksanakan.

Kita juga mengharapkan agar kerajaan negeri mempercepatkan agihan bakul makanan yang sudah diumumkan tersebut kerana sebahagian golongan B40 masih belum menerima agihan bakul makanan ini walau pun sudah tujuh minggu PKP 2.0 dilaksanakan.


Setakat 16 Februari 2021 (hari ini), ramai penduduk kampung dalam golongan B40 mulai mengadu bahwa sumber pendapatan mereka terjejas teruk namun belum menerima bantuan bakul makanan dibawah program Bantuan Prihatin Covid 2.0.


Penduduk kampung mengeluh kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kesukaran hidup berikutan pelanjutan PKP 2.0 yang sudah melebihi 35 hari sejak mula dikuatkuasakan pada 13 Jan 2021.

Bantuan kerajaan seperti agihan bakul makanan amat diperlukan, khususnya dikawasan luar bandar dan pedalaman ketika ini, apatah lagi sekiranya PKP 2.0 akan dilanjutkan sekali lagi bagi dua minggu seterusnya.


Kita sedia maklum bahwa kebanyakan KIR golongan B40 adalah petani dan tidak berkemampuan untuk memiliki kenderaan untuk memudahkan urusan seperti ke pejabat daerah atau agensi/jabatan, atau menghadiri temujanji klinik atau hospital, atau pun mengeluarkan wang simpanan di kaunter/ATM, atau membeli keperluan harian yang tidak ada dijual dikedai-kedai runcit di kampung seperti keperluan pakaian/makanan bayi dan kanak-kanak.


Penguatkuasaan SOP PKP 2.0 yang membenarkan 2 orang (serumah) dalam 1 kenderaan untuk sebarang urusan ke pekan turut memberi kesan kepada golongan ini.

Malah, bebanan untuk menyediakan makanan dan keperluan PdPR kepada anak-anak mereka yang masih bersekolah turut bertambah ketika sekolah masih ditutup, memandangkan sebelum ini anak-anak mereka di sekolah rendah boleh menikmati makanan melalui program RMT.


Manakala anak-anak mereka di sekolah menengah turut tinggal diasrama sekolah dan menikmati makanan yang disediakan diasrama. Tekanan kepada KIR golongan B40 ini bertambah ketika dituntut menyediakan keperluan PdPR berikutan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Semua pihak mengakui bahwa semua rakyat turut terjejas akibat pandemik ini dan pelaksanaan PKP. Namun Keadaan ini sangat memberi kesan buruk kepada institusi kekeluargaan bagi golongan B40 bermula dengan aspek ekonomi keluarga yang turut mempengaruhi emosi dan akhirnya mendorong kepada tindakan diluar kawalan.


Justeru, agihan segera bantuan bakul makanan dan bantuan kewangan lain kepada golongan B40 dapat membantu meringankan beban dan mengurangkan tekanan untuk menampung kelangsungan hidup.


Dr. Rizoh Evied Bosorong

Aktivis Masyarakat


Commentaires


bottom of page