top of page
nabalunews

Segerakan proses naik taraf Jalan Lok Kawi-Papar untuk elak kesesakan – Armizan

10 November 2024


PAPAR: Keperluan untuk menaik taraf Jalan Lok Kawi – Papar di sini sudah mencapai tahap mendesak berikutan peningkatan trafik yang ketara sehingga menyebabkan kesesakan teruk.


Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagai permulaan laluan sepanjang 1.3 kilometer yang bermula dari Bulatan Sabindo hingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, di sini, dinaik taraf dengan kos RM67 juta.


Beliau sudah meminta supaya Kementerian Kerja Raya (KKR) menyegerakan proses penilaian reka bentuk dan pengeluaran tender bagi mempercepatkan projek menaik taraf laluan berkenaan yang sudah diluluskan peruntukannya oleh Kerajaan Persekutuan.


Projek itu kini di peringkat penyiapan reka bentuk sebelum proses penilaian dan pembukaan tender pada Januari depan, disusuli pemilihan kontraktor, manakala permulaan kerja tapak dijangka pada Mei 2025.


“KKR sudah memberi komitmen bahawa proses penilaian reka bentuk oleh pihak perunding disegerakan dan tender dibuka pada Januari 2025, projek akan diiklankan untuk syarikat yang berminat memasuki tender.


“Projek ini membabitkan kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada selorong sehala kepada jalan berkembar dua lorong dua hala,” katanya.


Ribuan pengguna yang melalui jalan singkat menghubungkan pekan Papar dengan Lok Kawi dan Kota Kinabalu itu berdepan kesesakan yang teruk setiap hari berikutan keadaan laluan sedia ada yang sempit.


Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata, berdasarkan bancian lalu lintas pada 2021, dianggarkan 27,000 kenderaan menggunakan laluan berkenaan setiap hari.


“Jumlah itu dianggarkan sudah meningkat kepada 30,000 kenderaan pada masa ini," katanya.

Commentaires


bottom of page