top of page
nabalunews

Sekat pinjaman: PTPTN akan buat keputusan, KPT tak masuk campur


17 November 2024


GOMBAK: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyerahkan sepenuhnya kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan langkah terbaik untuk membiayai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di masa hadapan.


Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya tidak boleh campur tangan dalam urusan berkenaan kerana setiap keputusan dan pandangan sudah dibincangkan berpandukan mesyuarat yang diadakan oleh PTPTN.


Namun beliau memberi jaminan, langkah yang dilakukan oleh PTPTN juga adalah berdasarkan perkiraan yang teliti dan tidak kejam, sebaliknya akan mengambil kira apa sahaja situasi yang dihadapi oleh pelajar.


"Saya tidak mahu mengupas atau mengulas lanjut (mengenai cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah) kerana PTPTN akan mengeluarkan kenyataan rasmi disebabkan mereka mempunyai jawatankuasa yang dibentuk.


"Biarlah mereka mengeluarkan kenyataan berpandukan kepada mesyuarat yang sudah diadakan dan pandangan-pandang yang sudah diberikan berdasarkan mesyuarat itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke 40, hari ini, lapor Harian Metro.


Media sebelum ini melaporkan, cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah tidak akan menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.


Zambry berkata, semua pihak seharusnya tidak membuat sebarang kesimpulan terlebih dahulu kerana PTPTN melihat semua aspek dalam perkiraan yang dilakukan.


Namun katanya, perkara yang paling penting untuk diteliti adalah mengenai graduan yang tidak pernah membayar langsung pinjaman PTPTN.


"Saya fikir itulah yang perlu diberi penekanan bukan mereka yang bayar tetapi kemudiannya tak bayar, mungkin kerana sebab-sebab tertentu seperti tidak berkerja lagi atau dibuang. Dan perkara ini juga ada dalam perkiraan PTPTN sebelum sesuatu tindakan diambil," katanya.


Beliau menjelaskan, PTPTN sebenarnya menerima pelbagai cadangan daripada pelbagai pihak khususnya berkaitan sekatan ke luar negara.


"Mana yang baik kita ambil tetapi kita tidak mahu menjadi sebuah institusi yang kejam dan tiada perasaan, membuat tindakan tanpa ada usul periksa terhadap kedudukan mereka," katanya.

Comments


bottom of page