top of page
Writer's pictureJacquline Ebit

Selepas dua tahun menyepi, Tarian Singa kembali mewarnai Tahun Baru Cina


Tarian harimau yang dipersembahkan oleh Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan. Sumber: FB Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan

31 Januari 2022

Oleh Jacquline Ebit


Kemeriahan sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa persembahan tarian singa atau tarian naga yang merupakan warisan kebudayaan masyarakat Cina sejak turun temurun.


Tarian singa merupakan antara tarikan utama dan begitu sinonim semasa perayaan Tahun Baru Cina. Tarian ini dipercayai dapat membawa tuah dan rezeki mengikut kepercayaan mereka.


Alunan gendang, simbal dan gong serta dentuman mercun yang dimainkan semasa tarian ini bertujuan untuk menghalau roh atau semangat jahat kerana dikatakan roh jahat tidak suka akan bunyi kuat atau bising.


Sumber: FB Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan

Tarian singa aktiviti sihat


Keunikan tarian singa yang bukan sahaja melibatkan gerak tari seekor singa tetapi juga aksi akrobatik menarik minat Hidayah Li, 23 untuk mempelajari tarian tersebut.


Kini bergelar sebagai seorang penari senior dan juga salah seorang tenaga pengajar di Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan di Inanam, Hidayah menceritakan dia meminati tarian singa sejak kecil lagi.


“Bagi saya tarian singa ini satu hobi yang menyeronokkan kerana kita bukan sahaja dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu tetapi seperti sukan lain, tarian singa juga dapat menyihatkan badan.


Hidayah bersama bersama kostum singa, harimau dan unicorn

“Bayangkan satu kepala singa (kostum) sahaja beratnya mencecah enam hingga lapan kilogram ini secara tidak langsung memerlukan seorang penari itu mempunyai kekuatan fizikal dan stamina yang tinggi untuk membolehkannya melakukan gerak tari seekor singa sambil memengang kepada singa yang berat.


“Justeru tarian singa ini bukan sahaja sebagai satu hobi tetapi juga suatu bentuk sukan yang dapat menyihatkan badan. Sebagai contoh gerak tari dalam tarian singa iaitu ‘Ma Bu’ (马步) atau horse stance dapat memperkuatkan cara kita berdiri dan menstabilkan badan,” katanya ketika ditemui Nabalu News.



Latihan memerlukan kesabaran dan disiplin yang tinggi


Hidayah Li

Menurut Hidayah, mempelajari tarian singa memerlukan kesabaran dan semangat tinggi serta disiplin kuat kerana tarian ini agak sukar untuk dipelajari.


Mereka yang berminat haruslah mempunyai disiplin yang kuat untuk turun berlatih dan juga perlu mendengar arahan dan ajaran dari pelatih.


“Tarian singa ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ianya memerlukan masa bagi seseorang untuk menguasi gerak tari tarian singa. Penari perlu memastikan tarian singa itu seolah-olah mirip seperti seekor singa agar persembahan itu hidup dan tidak kelihatan hambar.


“Kami selalunya adakan latihan pada waktu malam dari jam 7 sehingga jam 9 sebanyak dua kali seminggu.


“Tetapi tiga bulan sebelum Tahun Baru Cina, kami adakan latihan dengan kerap iaitu lima kali seminggu,” katanya.



Penyertaan golongan muda semakin kurang


Mengulas penyertaan golongan muda dalam mempelajari tarian ini, Hidayah berkata golongan muda semakin kurang meminati dan mempelajari tarian tradisional itu.


“Boleh nampak, sejak kebelakangan ini penyertaan golongan muda semakin kurang dalam tarian singa dan naga disebabkan kemajuan teknologi. Mereka asyik dengan telefon masing-masing dan lebih gemar bermain permainan dalam telefon.


Tapak latihan Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan

“Perkara ini perlu diatasi kerana tradisi dan budaya ini jika tidak dipelihara lama kelamaan akan hilang ditelan zaman.


“Menjadi tanggungjawab kita semua tidak kira ibu bapa, komuniti dan kerajaan untuk menyebarkan dan mengajar sejarah dan kebudayaan tarian singa ini kepada anak-anak muda supaya ianya terus kekal sampai bila-bila,” tegasnya.



Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan untuk semua kaum


Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan mula ditubuhkan pada tahun 2009, sebagai hobi dalam kalangan masyarakat Cina di sekitar Inanam dan semasa penubuhannya persatuan itu cuma seramai 15 ahli tetapi kini kelab itu mempunyai kira-kira 400 ahli dengan yang aktif seramai 50 orang.


“Keahlian dalam kelab ini tidak mengira latar belakang umur dan kaum. Kami menerima penyertaan dari kaum lain selain masyarakat Cina.


Penari Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan semasa persembahan di SICC

“Bagi kami, selagi seseorang itu mempunyai niat untuk belajar dan mendalami sejarah dan budaya tarian singa, tidak salah untuk menerima mereka walaupun berlainan kaum dan budaya,” katanya.


Sementara itu Pengerusi Kelab Tarian Naga Singa Nan Shan, Chew Kok Ban berkata, persatuan itu bukan sahaja berfokuskan untuk mengekalkan budaya tradisi tarian singa tetapi juga untuk memberi sumbangan kepada golongan susah.


Chew Kok Ban

“Selain membuat persembahan dan mengikuti pertandingan, kami juga banyak memberi sumbangan kepada rumah orang-orang tua, kurang upaya dan sebagainya,” katanya.


Chew berkata, kelab ini turut aktif dalam menyertai kejohanan tarian singa sejak penubuhannya dan antara pertandingan yang disertai ialah Johor International Cup.


Kelab itu pernah memenangi beberapa kejohanan sperti Johan dalam kejohanan tarian singa di Kota Kinabalu pada tahun 2013, tempat ketiga dan keempat pada tahun seterusnya dalam di Sandakan.


Selain membuat persembahan tarian singa dan naga, kelab itu terlibat dalam pembuatan kostum singa, naga dan unicorn.


Uniknya pada tahun ini, kelab tersebut mempersembahkan tarian harimau, satu-satunya di Sabah di mana kustom harimau itu dibuat sendiri oleh kelab itu.

Pembuatan kostum Unicorn oleh Chew

“Seiring dengan Tahun Harimau pada tahun ini dalam kalender Cina, kelab kami julung kalinya membuat persembahan tarian harimau.


“Kami berharap tahun ini pandemik Covid-19 dapat beransur reda agar kami dapat terus membuat persembahan dan menyertai pertandingan-pertandingan luar.


“Tahun lepas cukup susah bagi kelab ini kerana kami tidak menerima tempahan untuk membuat persembahan ekoran perintah kawalan pergerakan. Ini menjejaskan pendapatan kami serta menyukarkan kami untuk membayar sewa tapak latihan, penyelenggaraan peralatan, kostum singa dan sebagainya,” jelasnya.

Comments


bottom of page