top of page

Semangat Patriotik Disemai Awal: Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Warnai SK Lasau Podi

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read


22 April 2025


KOTA BELUD: Suasana penuh semangat dan cinta akan negara menyelubungi tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan (SK) Lasau Podi hari ini apabila Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid berlangsung dengan jayanya.


Majlis yang diadakan di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia itu bertujuan memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda, seiring dengan usaha membentuk masyarakat yang berjiwa nasional.


Guru Besar SK Lasau Podi, Datu Manggong Hj. Jawin dalam ucapannya menekankan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, malah merupakan cerminan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air.



“Objektif utama program ini adalah menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga sekolah. Kita ingin nilai cintakan negara ini menjadi budaya yang diterap sejak awal usia,” ujar beliau.


Majlis tersebut turut menerima kunjungan istimewa daripada Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapannya, Clarence menyampaikan salam dan ucapan tahniah daripada Ewon yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Beliau turut diberi penghormatan melancarkan gimik pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada murid-murid terpilih, sebagai simbolik permulaan program berkenaan.



Program seperti ini dilihat sebagai satu langkah tepat dalam menyemai semangat kenegaraan bermula dari peringkat akar umbi. Dengan penglibatan aktif pelajar serta tenaga pengajar, ia turut memperlihatkan komitmen sekolah dalam menyokong aspirasi kerajaan ke arah pembentukan warga Malaysia yang berjiwa patriotik.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua SK Lasau Podi, Judin Roslan, yang menyatakan sokongan padu terhadap usaha mendekatkan nilai kebangsaan kepada murid-murid secara berterusan.


Program ini sekaligus menjadi bukti bahawa semangat patriotik tidak mengenal usia, dan dengan pendidikan yang tepat, ia mampu membentuk warga negara yang setia dan berjiwa besar.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page