Sembilan pemancing asing diusir selepas dikesan menceroboh perairan Malaysia
11 Februari 2025
TAWAU: Sembilan pemancing warga Indonesia yang dikesan menceroboh masuk perairan Malaysia, Ahad lalu, diusir pulang ke negara asal.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, semua pemancing berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semua yang ditahan dalam operasi Op Pluto Timur itu berusia lingkungan 28 hingga 52 tahun.
"Mereka yang menaiki tiga bot ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran serta tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
"Kita turut merampas tiga unit enjin sangkut 15 kuasa kuda serta hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai RM20, 000,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua individu lelaki itu diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi proses pengusiran.
Katanya, ia berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia - Indonesia berkaitan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012.
“Selepas proses dokumentasi selesai, ketiga-tiga bot berkenaan diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan atau aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.
Comments