Seorang mangsa ditemui, dua lagi masih hilang

30 Mac 2025
SANDAKAN: Seorang kanak-kanak yang hilang bersama kakak dan bapa saudara di kawasan laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar, Jalan Costel, di sini, awal pagi tadi, ditemui meninggal dunia.
Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun terbabit ditemui pada jam 7.08 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir semua mangsa disedari hilang.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada tindakan ibunya yang terjun ke laut dengan membawa bersama mangsa dan kakaknya yang berusia 6 tahun.

Seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga bapa saudara mangsa cuba membantu namun hilang dipercayai dibawa arus deras.
Bagaimanapun, ibu mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam manakala tiga lagi mangsa hilang di laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.13 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah ‘water surface’ di tebing laut.
“Mangsa wanita berusia 29 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam dan diberikan bantuan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kini masih di rawat di Hospital Sandakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan usaha mencari dua lagi mangsa hilang sedang giat dijalankan.
“Setakat ini, dua lagi mangsa masih dalam pencarian oleh pasukan penyelamat dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya
Comments