Serangan peribadi terhadap wartawan, pemimpin PAS digelar ‘kaki buli’
15 Nov 2021
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kedah menggunakan serangan peribadi terhadap wartawan bertugas yang bertanyakan soalan semasa sidang media menerima kritikan hebat bukan sahaja dari netizen, malah ahli pemimpin Malaysia.
Wartawan Free Malaysia Today mengajukan soalannya dalam Bahasa Inggers kepada Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim mengenai kerisauan masyarakat terhadap isu penutupan kedai nombor ekor di negeri itu.
Sidang media itu diadakan selepas majlis pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN).
“You tanya Bahasa Melayu lah. You are Malaysian or not? You cakap Bahasa Melayu lah,” kata Awang ketika ditanya.
“I am a Malaysian certainly. Please don’t do that to me,” jawab wartawan itu yang mengatakan beliau merupakan warga Malaysia dan meminta agar tidak dilayan sedemikian.
“You also proper ask the question, you know. You want me to respect you, you must respect us first (Kamu pun perlu tanya soalan dengan cara baik. Kamu mahu saya hormat kamu, kamu kena hormat kami dulu),” kata Awang, sambil mengulangi permintaannya agar wartawan itu bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Wartawan itu sekali lagi mengulangi soalannya, kini menggunakan Bahasa Malaysia, tetapi Idris menyoal wartawan itu semula samada beliau setuju jika suaminya seorang kaki judi.
“It’s not about my family (Ini bukan pasal keluarga saya),” kata wartawan itu, menjawab soalan Idris yang berbunyi serangan peribadi.
Kejadian yang sempat dirakam dalam video berdurasi 59 saat itu tular di media sosial di mana reaksi netizen rata-ratanya mengkritik tindakan kedua-dua pemimpin PAS itu.
Mereka menggelar Idris dan Awang sebagai ‘kaki buli’ kerana menganggap layanan mereka terhadap wartawan yang hanya menjalankan tugasnya itu tiada etika dan tidak beradab.
Beberapa Ahli Dewan Negara turut menyuarakan rasa hampa terhadap sikap angkuh kedua-dua menteri itu yang tidak menghormati pihak media dan menggunakan serangan peribadi ketika menjawab soalan.
Senator PKR Yusmadi Yusoff menerusi satu kenyataan mendesak ahli PAS ini untuk membuat permohonan maaf ke atas tindakan mereka yang dilihat biadab itu.
“Pihak kerajaan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk memberi penjelasan dan bukan melakukan intimidasi terhadap wartawan yang melakukan tugasan mereka.
“Peranan media di dalam sistem demokrasi adalah sama penting dan tidak keterlaluan saya katakan menjadi lebih penting di dalam sebuah negara yang semi autoritarian seperti Malaysi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata tindakan Idris dan Awang bukan sahaja menunjukkan kelemahan dalam menjawab soalan mengenai isu itu, tetapi juga membuat kenyataan bersifat seksis dan penghinaan terhadap wartawan wanita itu.
“Idris boleh menolak soalan itu secara sopan tetapi sebaliknya beliau membuat serangan peribadi terhadap wartawan itu dan enggan menjawab soalannya,” katanya dalam satu kenyataan media.
“Adakah standard Menteri kita serendah hari ini sehinggakan mereka tidak faham atau tidak dapat menjawab dalam Bahasa lain? Sejak bila bertanya soalan menggunakan Bahasa universal menjadi perbuatan tidak menghormati?” soalnya.
Maria juga menggesa agar tindakan diambil terhadap kedua-dua Menteri ini, samada menggantung jawatan atau gaji mereka.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mengumumkan bahawa kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.
Comments