top of page

SESB menuju ke arah penggunaan meter pintar di Sabah Dan Labuan

Wartawan Nabalu News


20 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU; Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini sedang bergerak ke arah penggunaan Meter Pintar (Smart Meter) untuk merekodkan jumlah penggunaan elektrik di setiap premis dan kediaman di seluruh Sabah dan Labuan, menurut Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Madius menjelaskan bahawa SESB telah membuka tender pada 16 April dan menutupnya pada 12 Jun lepas untuk mempelawa syarikat-syarikat berkelayakan menyertai inisiatif ini.


"Pada ketika ini, ia sedang dalam proses analisa tender sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Tender Pengurusan dan seterusnya ke Jawatankuasa Perolehan dan Kewangan Lembaga," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Kenyataan ini dikeluarkan bagi mengulas saranan Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan, yang mencadangkan penggunaan meter pintar oleh kerajaan.


Menurut Madius, cadangan tersebut adalah wajar kerana meter pintar mempunyai pelbagai manfaat berbanding meter konvensional.


"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak SESB pun sememangnya sedang ke arah itu dan diharapkan segala proses yang dilaksanakan berjalan lancar," tambahnya.


Selain itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, menggalakkan orang ramai dan pengguna untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi mySESB di telefon bimbit masing-masing.


"Melalui aplikasi ini, pelbagai perkhidmatan boleh dilaksanakan hanya di hujung jari. Antaranya, mendapat akses penyata bil terkini selain boleh membuat pembayaran bil secara terus ke sistem SESB tanpa perlu menunggu tiga hari bekerja seperti cara pembayaran yang lain.


"Pengguna juga boleh mendapatkan info semasa berkaitan penyelenggaraan di sesuatu kawasan, menyalurkan aduan dan menyemak status tindakan, membuat permohonan meter baharu serta pelbagai lagi," katanya.


Beliau menegaskan bahawa perkhidmatan mySESB adalah satu inisiatif untuk memudahkan para pelanggan berurusan tanpa perlu berbaris panjang atau bersesak di kaunter atau Kiosk SESB. Namun, sehingga kini, daripada 696,711 pengguna SESB, hanya 112,835 orang telah mendaftar.


"Untuk itu, kita harapkan lebih ramai mendaftar di mySESB agar sebarang urusan orang ramai dengan SESB dapat diselesaikan dengan lebih fleksibel, mudah, cepat dan pantas," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page