top of page
nabalunews

Sesi libat urus Pelan Induk Pembangunan Kadamaian bersama masyarakat zon Narinang dan Taginambur


15 November 2024


KOTA BELUD : Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) mengadakan sesi libat urus bersama masyarakat zon Narinang dan Taginambur berkenaan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian pada Khamis, 14 November lalu.


Sesi ini berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Tamalang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian.


Program ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, Caryle Lajimin, serta Penyelia dan Pemaju Mukim, Joel Deukin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Antara pemimpin tempatan yang hadir adalah Pengerusi JKKK Kampung Tuguson, Encik Yalip Sarun, Pengerusi JKKK Kampung Tinata, Encik Hadlee Panchai, Pengerusi JKKK Kampung Tamalang, Taginambur Jaya, Encik Jhon Sindiong, Pengerusi JKKK Kampung Taginambur Jaya, Jack Koria Indan dan Pengerusi JKKK Kampung Soronsob, Bahab Taisin Dorisi.


Sesi ini bertujuan untuk membincangkan

Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang menjadi panduan komprehensif bagi semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan dalam merancang pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya di Kadamaian.


Kajian bagi pelan induk ini dijalankan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan sokongan Pejabat Daerah Kota Belud, Pejabat UPPM Kadamaian, dan Perhubungan ADUN Kadamaian.


Kajian ini dijalankan selama enam bulan, bermula Julai 2019, dengan menggunakan peruntukan 'touchpoints' ADUN sebanyak RM68,000.


Pelan induk ini sangat signifikan kerana ia merangkumi pandangan dan input daripada rakyat Kadamaian sendiri dan melibatkan kesemua kampung di Kadamaian.


Pelan ini akan menjadi panduan utama bagi kementerian, agensi, dan jabatan kerajaan serta rakan strategik pembangunan, terutamanya badan korporat yang berminat untuk melabur atau menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Kadamaian.


Sesi libat urus menyentuh pelbagai strategi bagi pembangunan di Kadamaian.


Antaranya merancakkan aktiviti dan mengembangkan produk-produk pelancongan dengan penekanan kepada eko-pelancongan dan pelancongan desa dalam usaha menjadikan Kadamaian sebagai hab eko-pelancongan yang terunggul.


Sesi libat urus turut menyentuh usaha

menggalakkan kegiatan hiliran asas tani bagi menjana pendapatan lebih tinggi kepada komuniti.


Ia termasuk meningkatkan pembangunan ekonomi sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang berdaya maju, moden, dinamik dan kompetitif.


Aspek keusahawanan dan kraftangan turut dibincangkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berjaya dan berdaya saing.


Produk-produk kraftangan Kadamaian juga berpotensi dikembangkan sehingga bertaraf dunia.


Aspek infrastruktur, kemudahan dan pentadbiran awam turut dibincangkan.


Ia termasuk memastikan kemudahan dan utiliti awam disediakan dan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.


Serta membangunkan pekan yang sedia ada dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan moden bagi mempergiatkan aktiviti komersil agar urusan mentadbir dan mengurus kawasan Kadamaian dilakukan dengan lebih cekap dan efisien.


Turut disentuh, memperkasakan pembangunan sumber manusia yang berkualiti, berkemahiran serta dinamik melalui pendidikan dan latihan.


Kedudukan strategik Kadamaian juga boleh dimanfaatkan sebagai penghubung antara daerah dan destinasi transit yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Comments


bottom of page