top of page
Wartawan Nabalu News

Shafie takut dengan Mahathir soal gas dan minyak Sabah - Ewon


Ewon ketika berucap semasa Ceramah di Market 88, dekat sini, hari ini.

13 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Bekas menteri Sabah Datuk Ewon Benedick mempersoalkan tindakan Presiden Parti Warisan Datuk Shafie Apdal menangguhkan pelaksanaan enakmen cukai jualan produk petroleum Sabah semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 2018 hingga 2020.


Ewon yang juga calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang berkata, Shafie telah memaklumkan mereka di Kabinet bahawa beliau akan berbincang dengan Dr.Mahathir sebelum membuat keputusan.


“Setiap kali isu gas dan minyak ditimbulkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah, Datuk Shafie memberitahu yang beliau sedang berbincang dengan Mahathir dan perlu tunggu keputusan Mahathir.


“Selepas Enakmen Cukai Jualan Produk Petroleum Sabah dipersetujukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun 2019, saya tanya Shafie kenapa tidak kuatkuasakan serta merta?


“Shafie memberitahu perbincangan beliau dengan Perdana Menteri masih berlangsung dan perlu tunggu Mahathir. Saya tidak tahu kenapa Shafie terlalu takut dengan Mahathir. Tapi itulah kebenarannya masa itu. Enakmen itu hanya dikuatkuasakan selepas Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya.


Ewon (tiga dari kiri), Anthony (tiga dari kanan), Chan (empat dari kanan),, Jin Zhe (dua dari kanan), Jannie (dua kiri) dan Donald (kanan).

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan Penampang di Funky Farm Food Court, di sini, semalam dan juga semasa Ceramah Kopitiam di Market 88 bersama Setiausaha Agung DAP Anthoy Loke, hari ini.


Ewon turut menyatakan enakmen itu hanya dibawa ke kabinet Sabah selepas Kerajaan Sarawak berjaya mendapatkan hak kutipan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum di Sarawak selepas kerajaan itu memfailkan saman di mahkamah.


“Semasa Kerajaan Sarawak membawa hak kutipan cukai produk petroleum mereka ke mahkamah, sebenarnya mereka turut mengajak Kerajaan Sabah untuk sama-sama memfailkan saman kepada Petronas. Tetapi Datuk Shafie tidak mahu kerana dia tidak mahu mengguris hati Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu.


“Apabila Kerajaan Sarawak menang ke atas saman, maka barulah Shafie setuju ikut buat enakmen cukai jualan produk Petroleum di Sabah,” katanya.



Beliau berkata, enakmen itu hanya dikuatkuasakan pada April 2020 selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.


Ewon turut menafikan kenyataan Datuk Shafie yang mengatakan DAP dan PKR telah membuat keputusan parti mereka menolak tuntutan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.


“Saya tidak pernah mendengar Christina (Datuk Christina Liew), Frankie (Datuk Frankie Poon) dan Jin Zhe (Phoong Jin Zhe) memberitahu kabinet mengenai dakwaan parti mereka menentang hak 40% tersebut.


“Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Sabah daripada UPKO, DAP dan PKR telah memfailkan Saman Pemula (Originating Summon) terhadap Kerajaan bagi menuntut hak Sabah 40% tersebut. Kenapa Christina, Frankie, Jin Zhe dan wakil-wakil rakyat DAP dan PKR ikut sama saman Kerajaan jika betul parti mereka tolak hak 40% Sabah ini?” katanya.



Ewon berkata, Shafie ketika menjadi Ketua Menteri mempunyai banyak platform rasmi untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah, antaranya menganggotai Majlis Kewangan Negara, Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta Jawatankuasa Khas Sabah, Sarawak.


“Kenapa Shafie menyalahkan Jin Zhe dan Christina? Mereka tidak duduk dalam jawatankuasa itu.


“Dalam tempoh 22 bulan kerajaan PH memerintah, ada tiga menteri persekutuan dari Warisan iaitu Datuk Darell Leiking, mendiang Datuk VK Liew dan Datuk Mohamad Ketapi. Buat apa dia (Shafie) salahkan menteri kabinet dia di Sabah? Ini menimbulkan persoalan saya dan juga rakyat Sabah,” katanya.


Program di Food Court Taman Suria, hari ini.

Ewon berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Warisan itu yang menyatakan rakan kongsi PH dalam kerajaan negeri pimpinan Warisan sebelum ini tidak menyokong apabila beliau cuba menekan kerajaan persekutuan untuk menunaikan kewajipan mereka.


Shafie mendakwa, kerajaan negeri pimpinan Warisan mampu melakukan lebih banyak dalam menuntut semula 40 peratus hak Sabah daripada hasilnya tetapi pemimpin Pakatan Harapan negeri tidak menyokong.


Comments


bottom of page