top of page
nabalunews

Siasatan terhadap ADUN Sabah berkaitan dakwaan rasuah diteruskan, tiada usaha sekat - PM



22 November 2024


KUALA LUMPUR: Tiada sebarang usaha menyekat siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan kes rasuah yang sedang berjalan ketika ini kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurutnya, SPRM telah memaklumkan bahawa ADUN-ADUN terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan yang dikaitkan dengan mereka.


"Sepertimana yang telah kita jelas sebelum ini berkenaan dengan soal rasuah, memang langkah-langkah itu tegas dan memang saya tahu ia tidak mudah kerana sukar untuk memerangi rasuah bila melibatkan golongan mahakaya, kerana ramai penyokong-penyokong mereka.


"Tetapi saya telah diberi maklum oleh SPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu yang kadang-kadang berbangkit, yang terakhir melibatkan Sabah, itu yang dimaklum oleh SPRM.


"Siasatan diteruskan, ADUN-ADUN terkaitan dipanggil.


"Setakat itu sahaja yang saya boleh beri makluman tetapi tidak benar sama sekali kalau-kalau dikatakan ada usaha untuk mengekang atau menyekat.


"Begitu juga yang melibatkan orang-orang kenamaan yang besar yang lainnya," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis, lapor Astro Awani.


Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai usaha yang diambil kerajaan dalam memerangi rasuah di negara ini.


Mengulas lanjut, Anwar (PH-Tambun) berkata isu rasuah dalam negara sudah menjadi sistemik dan 'kecelaruan teruk' serta ia dilihat di setiap agensi, jabatan, dan kementerian.


"Sebab itu, saya memerlukan kerjasama dan dukungan semua pihak kerana tiap kali dihadapkan mahkamah, perkara itu dianggap sebagai motif politik.


"Jadi ini agak sukar, sebab itu saya berulang kali, malah pagi tadi saya tanya dari segi SPRM, selagi mereka mampu mereka akan teruskan," katanya lagi.

Comments


bottom of page