top of page
nabalunews

SIB Pinolobuh terima sumbangan daripada Ewon



17 Disember 2024


KOTA BELUD: Keperluan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Pinolobuh di sini untuk pembelian peralatan multimedia seperti sistem audio, mikrofon, dan televisyen bagi meningkatkan pengalaman jemaat semasa kebaktian gereja, dipenuhi apabila gereja itu menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Sumbangan itu disampaikan oleh Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin, kepada wakil gereja, Gunting Sakupan, pada Isnin.


Bantuan ini disalurkan hasil permohonan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pujian dan Penyembahan SIB Pinolobuh melalui surat rasmi yang dihantar oleh Rinah Sintang.


Menurut Rinah, dana yang disalurkan akan digunakan untuk membeli peralatan multimedia yang sememangnya amat diperlukan gereja bagi meningkatkan pengalaman jemaat semasa upacara kebaktian gereja.


"Peralatan ini bukan sahaja mempermudahkan perjalanan aktiviti kebaktian, malah memastikan komuniti jemaat dapat menikmati pengalaman yang lebih baik dan lancar," ujar Rinah.


Katanya lagi langkah ini diambil sebagai usaha untuk mengguna pakai teknologi moden dalam menyokong aktiviti keagamaan dan memperkasakan komuniti gereja.


Mewakili pihak gereja, Gunting merakamkan setinggi penghargaan kepada Ewon atas keprihatinannya terhadap keperluan masyarakat setempat.


“Kami amat bersyukur kerana Ewon telah menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh komuniti Gereja SIB Pinolobuh. Semoga Tuhan terus memberkati kepimpinan beliau,” katanya.


Menurut Gunting lagi, langkah ini mencerminkan komitmen ADUN Kadamaian untuk terus menyokong pembangunan komuniti, bukan sahaja dalam aspek infrastruktur tetapi juga dalam konteks memperkukuhkan institusi keagamaan yang menjadi tunjang kepada keharmonian sosial.

Comments


bottom of page