top of page
Wartawan Nabalu News

Simen murah untuk rumah mampu milik: Inisiatif Skim Simen Rahmah


18 April 2023

By Wartawa Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan swasta mampu milik akan mendapat manfaat daripada penurunan harga simen yang ditawarkan oleh Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) di bawah Inisiatif Skim Simen Rahmah.


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, C&CA akan membekalkan satu juta tan metrik simen pukal (bulk cement) pada harga RM290 setiap tan metrik kepada pemaju berkenaan, berbanding harga pasaran RM410.


“Ini bermakna ada insentif sebanyak 29.3 peratus daripada pembekal simen. Nilai satu juta tan metrik simen itu akan ditukarkan kepada 20 juta kampit simen standard dengan berat 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, harga kampit simen di pasaran sekarang adalah RM22.50 sekampit dan akan diturunkan kepada RM17.50 sekampit iaitu penurunan sebanyak 22.2 peratus sekampit atau bersamaan RM5 sekampit.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sempena Perayaan Aidilfitri 2023 hari ini berkata harga simen pada kadar berpatutan akan ditawarkan kepada pemaju rumah mampu milik yang membangunkan kategori rumah berharga RM300,000 ke bawah.


Nga Kor Ming berkata, 20 juta kampit simen itu akan dibekalkan secara berperingkat mengikut tempoh pembinaan pemajuan berkenaan sehingga 30 Jun 2028.


Beliau berkata, rakyat akan memperolehi manfaat pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.


“Contohnya untuk harga rumah asal bernilai RM300,000 dan pengurangan sebanyak RM5,000 atau 2.38 peratus menjadikan harga jualan baharu sebanyak RM295,000. Inisiatif ini sekali gus akan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dalam komitmen pembiayaan perumahan,” katanya.


Beliau berkata, 20 juta kampit simen itu mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit rumah.

Comments


bottom of page