Sindiket penipuan dalam talian, ambil kesempatan menjelang musim perayaan

28 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan modus operandi baharu sindiket penipuan dalam talian menggunakan poster sebuah platform e-dagang.
Ia dilihat cuba mengambil kesempatan menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sindiket berkenaan didapati mengubahsuai poster “Ramadan Bersama Shopee” dengan meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang peraduan, sebelum cuba menghubungi individu terbabit.
Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan untuk mengaktifkan “shopeepaylater” bagi menebus hadiah kemenangan sebelum diarah mengimbas kod QR.
“Tindakan itu menyebabkan wang di dalam akaun mangsa berkurangan selepas melakukan imbasan.
“Setakat ini, satu laporan polis diterima di Selangor melibatkan kerugian RM3,006.03 dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam perkembangan lain, Rohaimi berkata, sejumlah 2,328 kes penipuan belian dalam talian melibatkan kerugian berjumlah lebih RM19 juta telah direkodkan awal tahun ini sehingga 24 Mac lalu.
Menurutnya, jumlah ini meningkat 36.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang mencatatkan sejumlah 1,700 kes dengan nilai kerugian RM13.66 juta.
“Sehubungan itu, PDRM mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada semasa melakukan pembelian dalam talian dan berhati-hati dengan tawaran terlalu menarik atau harga terlalu murah.
“Orang ramai dinasihatkan melakukan pembelian melalui platform e-dagang mempunyai ciri keselamatan dan boleh dipercayai.
“Selain itu, masyarakat juga digesa supaya sentiasa menyemak ulasan serta komen pembeli lain dan memeriksa nombor akaun dan nombor telefon penjual di portal SemakMule,” katanya.
Kommentare