Sistem MyCard diperluas menerusi program SARA di Sabah dan Sarawak mulai tahun ini
nabalunews

9 Februari 2025
PENAMPANG: Penggunaan sistem MyCard dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sabah dan Sarawak akan diperluaskan bagi memudahkan penerima membeli keperluan asas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini, pemberian bantuan di dua negeri berkenaan dilakukan secara tunai dan kadangkala mengambil masa berbulan untuk sampai kepada penerima.
Namun katanya, menerusi MyCard, pembelian barang keperluan asas akan menjadi lebih mudah melalui premis pasaraya yang terlibat.
“Sebelum ini, pelaksanaan bantuan di Sabah dan Sarawak dilakukan secara tunai, yang memerlukan masa yang lama untuk disampaikan.
“Justeru, dengan penggunaan MyCard ini, penerima boleh membeli barang keperluan asas di pasaraya yang terlibat, dan mereka juga boleh memeriksa baki yang ada dalam MyCard mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani Back To School 2025 sempena musim cuti persekolahan di salah sebuah pasaraya di ITCC di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin dan Pengurus Besar ITCC, Benjamin Malakun.
Armizan berkata, perbezaan antara program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA adalah, STR memberikan bantuan tunai ke dalam akaun penerima, manakala SARA bertujuan untuk membeli keperluan asas.
Menurutnya, pada tahun 2025, kerajaan telah meningkatkan jumlah sumbangan untuk kedua-dua program ini daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion.
Sementara itu, Armizan mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak atas inisiatif mereka dalam memberikan bantuan tunai.
Katanya, di Sabah, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang bermula pada bulan Februari ini, akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM300 sebulan kepada ketua isi rumah golongan miskin dan miskin tegar.
“Dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kita berharap dapat meringankan beban sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata, digitalisasi program SARA ini tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja.
“Premis-premis perniagaan yang ingin menyertai program ini boleh memohon kepada Kementerian Kewangan, dan senarai lokasi yang terlibat boleh disemak melalui laman web mereka,” katanya.
Comments