top of page
  • nabalunews

Sistem tagal mampu mengekalkan kelestarian alam semulajadi: Jeffrey

6 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMBUNAN: Sistem tagal yang sudah diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah mampu mengekalkan kelestarian alam semulajadi jika ia dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, selain memulihara hidupan sungai terutama ikan sungai, sistem tagal juga berupaya menjadi produk pelancongan dan tarikan pengunjung sama ada dari luar dan dalam negara.


"Tagal yang diurus dengan baik sekaligus mengekalkan keindahan alam semulajadi" katanya.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan berkata, apabila tagal sesebuah kampung itu berjaya sudah tentu ia memberikan banyak manfaat kepada penduduk kampung.


Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu berkata demikian semasa berucap merasmikan Tagal Tradisi Kampung Marangas dan Kampung Lumayang dekat sini pada Jumaat.


Katanya, selain ikan sungai yang menjadi sumber pendapatan kelak, penduduk kampung juga berpeluang menjual produk-produk tempatan seperti kraftangan dan sebagainya kepada pengunjung.


"Ini pasti berlaku jika ramai pengunjung yang datang kerana tarikan tagal yang diurus dengan baik" katanya.


Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim berkata, Jabatan Perikanan Sabah dengan kerjasama komuniti kampung telah berjaya menubuhkan lebih 600 tagal di seluruh Sabah termasuk lebih 80 tagal di daerah Tambunan.


Katanya, antara tagal yang berjaya dan diurus dengan baik adalah Tagal Luanti  dan Tagal Marakau kedua-duanya di daerah Ranau.


Jelasnya, mengikut rekod daripada Jawatankuasa Pengurusan Tagal Luanti Ranau, pada tahun 2023 seramai 50,000 orang dari luar dan dalam negara direkodkan berkunjung ke Tagal Luanti Ranau.


"Bayangkan berapa jumlah wang ringgit yang dibelanjakan oleh bilangan pengunjung-pengunjung berkenaan" katanya lagi.


Walau bagaimanapun katanya terdapat juga tagal yang tidak aktif dan tidak diuruskan dengan baik.


Hadir sama Pegawai Daerah Tambunan Sobitun Makajil, pegawai-pegawai Kanan Jabatan Perikanan Sabah dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Comentarios


bottom of page