SK Podos Kota Belud terima sumbangan dari ADUN Kadamaian

20 Januari 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Podos menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, dalam usaha menyokong program pendidikan sekolah tersebut.
Sumbangan itu diserahkan oleh wakil Pejabat ADUN Kadamaian, Shainim Epin, kepada Charlton Lajimin yang mewakili pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Podos.
Menurut Charlton, sumbangan yang diterima akan digunakan untuk menyokong program lawatan sambil belajar bagi murid-murid Tahun 6 SK Podos.
Program itu merangkumi kunjungan ke beberapa destinasi pendidikan seperti Petrosains Playsmart Kota Kinabalu, Lok Kawi Wildlife Park, serta di Aquarium and Marine Museum Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Lawatan ini adalah peluang terbaik untuk murid-murid kami menambah pengalaman dan pengetahuan di luar bilik darjah. Sumbangan ini membolehkan kami melaksanakan program ini dengan lancar dan memberikan pengalaman berharga kepada murid-murid,” kata Charlton.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sokongan padu terhadap inisiatif pendidikan di kawasan Kadamaian.
Charlton turut menegaskan bahawa komitmen seperti ini bukan sahaja meringankan beban pihak sekolah tetapi juga memberi motivasi kepada murid-murid dan guru-guru untuk terus cemerlang.
Dengan lawatan sambil belajar ini, murid-murid Tahun 6 SK Podos berpeluang mendalami ilmu sains, mengenali biodiversiti, dan memahami kehidupan marin secara lebih mendalam. Program seperti ini dilihat sebagai langkah penting dalam memupuk minat terhadap pendidikan serta memberi inspirasi kepada murid-murid untuk mencapai impian mereka.
Comments