top of page
nabalunews

SK Tuguson rai kejayaan murid melalui Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik




18 Januari 2025


KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Tuguson Kota Belud telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik bagi sesi 2024-2025 bagi menghargai pencapaian murid dalam pelbagai bidang semalam.


Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Unit Pemulihan Khas, Beatrice Johan, menyampaikan ucapan perasmian dengan menekankan transformasi peranan pendidikan masa kini.


Katanya, pendidikan bukan sahaja bertujuan menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk generasi yang berakhlak tinggi. Ini selaras dengan usaha kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memperluas akses pendidikan berkualiti.


Beatrice turut menggariskan peranan penting inisiatif seperti Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak, selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang berhasrat membawa sistem pendidikan negara ke standard antarabangsa.


“Kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti amat penting untuk memastikan kejayaan dalam matlamat pendidikan negara,” tegasnya.


Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada murid yang telah menunjukkan prestasi luar biasa, menjadikan mereka kebanggaan sekolah.


Guru Besar SK Tuguson, Rostinah Gurud, menyatakan rasa syukur atas kemajuan sekolah yang kini dilengkapi dengan bangunan baharu, termasuk bilik darjah, makmal sains, bilik pentadbiran, dan kantin.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha merealisasikan kemudahan ini, yang telah meningkatkan keselesaan murid dan guru.


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Jiffanyus Sitimin, melaporkan bahawa 80 murid menerima anugerah kecemerlangan akademik, termasuk lapan murid prasekolah.


Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Jinih Santi, Pegawai Perhubungan Sekolah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Sarjan Rizal Pomulin, pemimpin masyarakat, serta ibu bapa.

Comentários


bottom of page