SKM Sumbang Smart TV kepada Pusat Sumber MUET SMK Bingkor
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_ab1b18e7596f4574a7788a98521ae7c5~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_ab1b18e7596f4574a7788a98521ae7c5~mv2.jpg)
15 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meneruskan komitmennya dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbangkan Smart TV kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor.
Sumbangan itu akan diletakkan Pusat Sumber Malaysian University English Test (MUET) dan bertujuan meningkatkan kemudahan pembelajaran pelajar Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook dan diterima oleh Pengetua SMK Bingkor, Dorothea Caherina.
Turut hadir ialah Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bingkor, Kennedy John, serta Ketua Pemudanya, Jeffson Japrin.
Sementara itu, dalam ucapannya, Dorothea menzahirkan penghargaan kepada pihak SKM atas sokongan yang diberikan.
Katanya, permohonan Smart TV ini dibuat oleh guru MUET di sekolah berkenaan ekoran sebelum ini tiada kemudahan sedemikian di pusat sumber mereka.
“Dengan adanya Smart TV ini, kita jangka akan memudahkan sesi pembelajaran pelajar Tingkatan Enam khususnya dalam mata pelajaran MUET yang memerlukan bahan audio dan visual yang lebih interaktif.
“SKM terbukti menunjukkan peranan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat, terutamanya dalam sektor pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Thien Fook ketika ditemui berkata, menerusi program CSR itu, pelajar akan mendapat akses kepada teknologi yang lebih baik.
Katanya, mereka juga berpeluang menikmati kaedah pembelajaran yang lebih dinamik dan efektif.
“Program seperti ini membuktikan bahawa kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi dan sekolah mampu memberikan manfaat besar kepada pelajar serta meningkatkan mutu pendidikan di kawasan luar bandar seperti Bingkor,” katanya.
תגובות