top of page
nabalunews

Skuad bola sepak wanita Sabah FA bawa cabaran Malaysia di China


1 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) meletakkan harapan tinggi kepada skuad bola sepak wanita Sabah FA untuk mencipta sejarah dengan membawa nama Malaysia ke dalam kelompok lapan pasukan terbaik bola sepak wanita Asia pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024 yang akan berlangsung di Wuhan, China pada 3 hingga 9 Oktober nanti.


Presiden SAFA, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata skuad bimbingan jurulatih Justin Ganai itu memiliki potensi besar untuk mencatat kemenangan pada saingan peringkat kumpulan kelak.


Menurut beliau, prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad bolasepak

wanita Sabah FA dalam pusingan awal di Stadium Likas sebelum ini membuktikan keupayaan dan semangat juang tinggi pasukan itu.


Ini memberikan keyakinan bahawa skuad

bola sepak wanita Sabah FA mampu mencipta satu lagi kejutan dalam kejohanan di Wuhan.


“Untuk peringkat kumpulan di Wuhan ini, ada empat negara, satu daripadanya adalah Malaysia yang diwakili oleh pasukan wanita Sabah FA.


“Sekiranya mereka dapat memenangi satu daripada tiga perlawanan di Wuhan ini, maka itu akan melayakkan mereka ke peringkat seterusnya iaitu kumpulan lapan teratas bagi peringkat Asia.


“Jadi, selaku Presiden SAFA, saya amat berbangga dan gembira melihat prestasi pasukan wanita kita yang pada tahun lalu menjuarai peringkat kebangsaan dan tahun ini melayakkan diri mereka di peringkat AFC.


“Sekiranya mereka dapat layak ke peringkat lapan teratas, itu adalah satu pencapaian yang begitu baik sekali,” katanya selepas menemui pemain pasukan wanita Sabah FA yang berlepas ke Wuhan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang semalam.


Pasukan Sabah dijadual bertemu kelab wanita dari China, Korea Selatan dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bermula 3 Oktober hingga 9 Oktober ini.


Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata apa yang penting pemain yang mewakili negara itu ke kejohanan antarabangsa itu sentiasa mengekalkan disiplin dan semangat.


“Buktikan bahawa mereka boleh bersaing dan mendengar segala arahan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan Ketua Jurulatih,” katanya.

Comments


bottom of page