top of page
nabalunews

SM St. Michael Penampang catat sejarah MBR, tanam halia paling banyak

30 November 2024


PENAMPANG: Sekolah Menengah (SM) St. Michael Penampang mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui penanaman halia paling banyak di sekolah iaitu 4,857 pokok.


Majlis MBR The Largest Zingiber Officianale Tree Planting Event” itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, di sekolah itu, di sini, hari ini.


Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, ini adalah kali ke-12 SM St.Micheal Penampang mencipta rekod tersendiri.


“Saya berharap inisiatif ini dapat mencapai matlamat dan saya juga akan terus memberi sokongan sewajarnya untuk membantu menjayakan program-program pembangunan pendidikan di sekolah ini dan sekolah-sekolah lain di Penampang,” katanya.


Ewon berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai skim pembiayaan khusus untuk koperasi termasuk koperasi sekolah.


“Sekiranya inisiatif seperti ini dilaksanakan oleh koperasi sekolah, kita mempunyai Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) berkenaan keterjaminan makanan.

“Selain itu Bank Rakyat juga mempunyai Skim Pembiayaan BRTani khusus untuk memacu industri makanan dan pertanian sekaligus meningkatkan pengeluaran agromakanan negara,” katanya.


Ewon berkata, selaku Ahli Parlimen Penampang, beliau akur dengan keperluan-keperluan sekolah di seluruh kawasan Penampang dan akan terus memberi sokongan bagi menjayakan program mereka.


Antara objektif penanaman halia di sekolah itu ialah untuk membudayakan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga sekolah dan komuniti luar melalui amalan 3R.


Selain itu ia juga bertujuan untuk memupuk minat keusahawanan di kalangan pelajar sekolah, memupuk minat bercucuk tanam dan melahirkan murid yang kreatif dalam memanfaatkan bahan terpakai untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar.


Hadir sama Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong, Pengetua Cemerlang SM St.Micheal Jennifer Asing, wakil MBR Siti Nurhanim Mohd Noh, wakil Jabatan Alam Sekitar, Yayasan Bank Rakyat, Sawit Kinabalu dan rakan-rakan strategik yang lain.

Comments


bottom of page