top of page

SME bank dan lembaga tabung haji tandatangan MoU strategik untuk pembangunan ekosistem PMKS

  • nabalunews
  • Aug 12, 2024
  • 2 min read

12 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: SME Bank dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memberi sokongan bagi membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui penyelesaian kewangan dan program pembinaan kapasiti yang komprehensif.


Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, kerjasama itu bertujuan untuk mewujudkan impak yang ketara dalam sektor PMKS Malaysia dengan menghubungkan penyelesaian dan kepakaran pembiayaan patuh Syariah SME Bank dengan rangkaian Tabung Haji.


Melalui MoU ini, Tabung Haji akan mempromosikan program SME Bank yang berkaitan kepada vendornya, manakala SME Bank, melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), akan membangun dan mempromosikan program pembinaan kapasiti untuk vendor berdaftar Tabung Haji yang layak.


“Selain itu, kedua-dua pihak akan meneroka dan mencadangkan skim pembiayaan berstruktur yang disesuaikan dengan keperluan khusus vendor berdaftar Tabung Haji.


“SME Bank dan Tabung Haji juga akan bekerjasama menganjurkan persidangan, seminar, ceramah dan aktiviti pemasaran, serta mengambil bahagian dalam program latihan dan pembangunan bersama untuk vendor berdaftar.


“Dengan menyepadukan prinsip Syariah ke dalam amalan perniagaan mereka, kedua-dua institusi komited terhadap piawaian etika dan pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyatan media, di sini, hari ini.


Hardee berkata, anak syarikat SME Bank, CEDAR yang telah melatih lebih 82,000 usahawan akan menyediakan program keusahawanan dan pembinaan kapasiti yang komprehensif yang direka untuk meningkatkan keupayaan PMKS negara.


“Inisiatif ini juga akan menggabungkan amalan terbaik dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui program bimbingan dan nasihat yang disasarkan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, dengan lebih 10 anak syarikat merangkumi pelbagai sektor, Tabung Haji berada di kedudukan yang baik untuk menyalurkan sumber dan kepakaran dalam perkongsian ini.


“MoU ini bukan hanya mengenai sokongan kewangan tetapi mewujudkan ekosistem yang kukuh untuk pertumbuhan PMKS.


“Kami komited memanfaatkan rangkaian dan keupayaan kami yang luas untuk memastikan vendor berdaftar kami memperoleh kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk mengembangkan dan meneruskan sokongan jangka panjang untuk Tabung Haji dan operasi perniagaannya,” katanya.


MoU antara SME Bank dan Lembaga Tabung Haji ditandatangani oleh Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan wakil Lembaga Tabung Haji; Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Hamadah Syed Othman, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato' Ramanan Ramakrishnan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Haji Zamri Salleh.


SME Bank menyambut baik kerjasama strategik, dan komited dalam memperkasakan PMKS dan menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan rangka kerja ekonomi MADANI.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page