top of page

SMK Kundasang anjur Hari Keusahawanan, Hari Koperasi pupuk budaya berkeusahawanan

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

27 April 2025


RANAU: SMK Kundasang mencipta sejarah tersendiri apabila menganjurkan Sakura Fest, Hari Keusahawanan dan Hari Koperasi buat julung kalinya bagi memupuk budaya keusahawanan dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program ini amat penting dalam melahirkan generasi yang berfikiran inovatif dan daya saing tinggi.


“Saya berharap agar lebih ramai pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti koperasi sekolah kerana inilah peluang terbaik para pelajar mempelajari selok belok dunia perniagaan dalam suasana yang selamat dan bimbingan berterusan.


“Koperasi sekolah bukan sekadar perniagaan tetapi platform pembelajaran yang sebenar kepada para pelajar dalam mengurus, mentadbir dan memupuk nilai-nilai seperti integrity, kerjasama dan tanggungjawab,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya Carly Lajimin. Majlis perasmian Sakura Fest, Hari Keusahawanan dan Hari Koperasi itu diadakan di SMK Kundasang, pada Khamis lalu.


Ewon berkata, koperasi sekolah di seluruh negara berjaya mencatatkan perolehan RM430 juta pada tahun 2023 dengan lebih 2.07 juta anggota, dan yakin usaha memperkasakan koperasi akan terus dipertingkat melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


“Saya juga berharap agar Koperasi SMK Kundasang Berhad terus berkembang maju dan menjadi contoh kecemerlangan kepada koperasi koperasi sekolah lain dalam aspek pengurusan serta menjadi pusat latihan keusahawanan yang sebenar kepada para pelajar.

Sementara itu Pengetua SMK Kundasang, Jollity Bollah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Ewon atas sokongan berterusan terhadap pembangunan keusahawanan di peringkat akar umbi.


Beliau berkata Sakura Fest bertujuan mengumpul dana untuk pengubahsuaian kedai koperasi dan memperkasa program kokurikulum selain menjadi platform untuk pelajar mengembangkan kemahiran keusahawanan dan kepimpinan.


Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program itu ialah gerai jualan produk pelajar, mini fun fair, persembahan kebudayaan, bual bicara keusahawanan, kempen derma darah dan cabutan bertuah.


Program anjuran Unit Kokurikulum SMK Kundasang dengan kerjasama Bidang Teknikal dan Vokasional dan Koperasi SMK Bundu Tuhan Berhad berlangsung selama tiga hari hingga 26 April.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page