Sokong Pertandingan ‘Buvazoi Tavantang Kaamatan’ 2025

25 Mac 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick menyokong penuh usaha terhadap pemeliharaan budaya menerusi sumbangan dana untuk penganjuran pertandingan ‘Buvazoi Tavantang Kaamatan’ (BTK) 2025.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran yang mewakili Ewon untuk menyampaikan sumbangan berkata, program itu bertujuan untuk memartabatkan warisan dan budaya etnik Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR).
Katanya, ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali, memahami, dan menghargai adat resam KDMR.
“Acara ini akan menjadi platform kepada anak muda untuk menyerlahkan kreativiti mereka dalam busana tradisional.
“Ia juga sekali gus dapat membantu peserta membina keyakinan diri melalui aktiviti yang positif,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pengerusi Program BTK, Ritah Giau berkata, pertandingan BTK atau lebih dikenali sebagai Mr. Kaamatan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Avanus Event Organizer.
Katanya, untuk tahun ini, ia akan mengikut tema "Budaya Hijau Warisan Abadi", selari dengan tema Pesta Kaamatan 2025.
“Bagi pihak penganjur, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian atas sumbangan dan sokongan kepada acara ini.
Katanya, bantuan itu sangat bermakna dalam memastikan pertandingan berkenaan dapat berjalan dengan lancar serta mencapai matlamat untuk memperkasakan budaya KDMR.
Untuk rekod, acara ini merupakan sebahagian daripada Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Kiulu, dan Kota Marudu yang akan berlangsung di Hotel Hilton Kota Kinabalu pada 13 April depan.
Kommentare