Sokongan Cadangan Penubuhan Unit Khas Pemantau Projek Rancangan Malaysia di Sabah
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

15 April 2025
KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan sebuah unit khas di bawah Kerajaan Negeri Sabah bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia merupakan langkah yang amat tepat dan wajar dilaksanakan dengan segera.
Langkah itu bertujuan memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara berkesan, tersusun dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R. Indang berkata, beliau amat menyokong penuh cadangan penubuhan entiti berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, dalam perbahasan ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Katanya, cadangan itu bersifat strategik dan berpandangan jauh kerana mengambil kira pelbagai cabaran teknikal dan pentadbiran yang kerap kali menjadi punca kelewatan dalam pelaksanaan projek pembangunan di Sabah.
“Walaupun Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sudah diwujudkan sebagai badan pemantau, penubuhan sebuah unit khas yang beroperasi secara langsung di peringkat lapangan adalah pelengkap penting kepada sistem sedia ada.
“Unit ini dapat memainkan peranan penting dalam menyelaraskan isu-isu seperti pertindihan fungsi antara jabatan, urusan pengambilan tanah, pembayaran pampasan serta kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
“Peranan ini sekali gus dapat menjembatani jurang antara perancangan di peringkat persekutuan dan pelaksanaan di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pelaksanaan projek yang cekap dan terselaras bukan saja menjamin penggunaan peruntukan secara optimum, tetapi turut meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menyampaikan janji pembangunan.
Katanya, apa yang lebih penting, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen sekitar Julai tahun ini memerlukan pendekatan baharu yang lebih dinamik, realistik dan berpaksikan keperluan tempatan.
“Penubuhan unit khas ini boleh menjadi mekanisme penting untuk memastikan senarai projek keutamaan negeri yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Keberkesanan pelaksanaan projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya, peluasan akses internet serta penyediaan kemudahan keusahawanan akan memberikan kesan langsung kepada pembangunan ekosistem keusahawanan dan koperasi di Sabah.
“Ini sejajar dengan pelaksanaan dasar 'Pandang ke Timur Dalam Negara' yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pimpinan Ewon serta semakan pertengahan Dasar Keusahawanan Negara 2030.
“Malah, sambutan menggalakkan terhadap pelaksanaan inisiatif seperti Tekun TikTok Shop Live Hub di Sabah membuktikan bahawa usahawan tempatan bersedia untuk bersaing
dalam pasaran digital,” katanya.
Namun begitu, Dennison berkata, isu kos logistik dan penghantaran masih menjadi
kekangan utama dan perlu diselesaikan melalui perancangan infrastruktur yang lebih
menyeluruh.
“Saya yakin dan percaya, penubuhan unit khas ini akan menjadi pemangkin kepada
penyampaian pembangunan yang lebih cekap, terselaras dan berimpak tinggi di seluruh
negeri Sabah.
“Ia sejajar dengan harapan rakyat terhadap sebuah kerajaan yang progresif dan
prihatin,” tegasnya.
Comments