Sokongan Padu Madius Tangau: Isu Kampung Ponopuan Diberi Perhatian Serius
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

22 April 2025
TUARAN: Program Santai Bersama Datuk Seri Panglima Madius Tangau di Kampung Ponopuan Tenghilan membawa sinar harapan baharu kepada komuniti setempat apabila pelbagai isu penting diketengahkan secara terbuka, termasuklah permohonan mengeluarkan kampung mereka daripada kawasan hutan simpan.
Ketibaan Madius disambut meriah oleh penduduk kampung yang turut dihadiri Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin. Ketua cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Ponopuan, Losius Pindi, yang juga Pengerusi Penganjur, mengalu-alukan kehadiran para tetamu dalam majlis mesra rakyat tersebut.
Dalam sesi ucapan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ponopuan, Norisah Jasim, menyuarakan beberapa isu utama komuniti. Antaranya termasuklah pembaikan jalan kampung, keperluan bekalan elektrik dan air terawat, serta isu besar berkaitan status kampung yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Kelawat Kelas 1.

“Permohonan kampung kami untuk dikeluarkan daripada kawasan hutan simpan amat penting demi masa depan pembangunan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Madius dalam responnya menjelaskan secara terperinci mengenai prosedur dan langkah yang perlu diambil oleh penduduk dalam proses memohon pelepasan kawasan daripada rizab hutan simpan. Beliau menekankan bahawa sejak tahun 1961, lebih 500 ekar kawasan di sekitar kampung telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 dan proses untuk mengubah status tersebut memerlukan pemahaman menyeluruh serta dokumen yang lengkap.
Tambah beliau, dalam hal berkaitan infrastruktur dan kemudahan asas, komuniti perlu memahami agensi bertanggungjawab. Contohnya, penyediaan kabel elektrik adalah di bawah kendalian Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), manakala isu air pula melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah.

“Pihak JKKK perlu aktif berhubung dan bekerjasama dengan agensi kerajaan agar permohonan dan aduan dapat diuruskan secara teratur. Kerjasama ini amat penting bagi memastikan suara rakyat didengar dan tindakan dapat dilaksanakan,” ujar beliau lagi.
Program tersebut turut menjadi platform interaksi dua hala antara penduduk dan wakil rakyat, yang disambut baik oleh penduduk kampung. Kehadiran pemimpin seperti Madius memberi harapan kepada komuniti luar bandar seperti Kampung Ponopuan untuk terus memperjuangkan hak mereka, terutamanya dalam aspek pembangunan dan status tanah.
Comments