top of page
nabalunews

SPA kemas kini kadar gaji terendah penjawat awam mulai 1 Disember



3 November 2024


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan mengemas kini kadar gaji terendah bagi penjawat awam bermula 1 Disember ini di laman sesawang rasmi mereka.


Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus, menyatakan langkah ini adalah selaras dengan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).


Menurut Dr Ahmad Jailani, kemas kini ini dibuat berdasarkan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, khususnya melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau berkata, SPA akan mengikuti panduan ini dan memastikan maklumat terkini tersedia di laman web SPA untuk rujukan semua.


Sehingga kini, SPA telah menerima sebanyak 1.14 juta permohonan untuk jawatan kosong dalam sektor kerajaan.


“Permohonan yang tinggi ini adalah satu perkara positif bagi kerajaan, kerana ia memberikan kita pilihan yang lebih luas untuk mendapatkan calon yang terbaik serta berintegriti,” kata Dr Ahmad Jailani semasa ditemui pada program Hari Terbuka SPA@Putrajaya 2024.


Program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman awam mengenai peluang permohonan jawatan dalam sektor awam dan swasta, selain membuka peluang kepada semua golongan.


SPA juga menyediakan kaunter khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang asli, sebagai sebahagian daripada usaha memberi peluang kepada mereka untuk menyertai perkhidmatan awam.

Comments


bottom of page