top of page

SPM 2024 catat keputusan terbaik sejak 2013

  • nabalunews
  • 14 minutes ago
  • 2 min read


24 April 2025


PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan merekodkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.


Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata Pelajaran meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.


Katanya, bilangan calon mendapat sekurang-kurang kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut meningkat kepada 86,040 orang berbanding 83,112 pada 2023.



“Keseluruhan pencapaian calon SPM 2024 adalah sangat membanggakan. Ia adalah keputusan SPM terbaik sejak 2013 apabila kita memperkenalkan syarat wajib lulus dua mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.


"Ia dapat dilihat berdasarkan GPK yang semakin mengecil berbanding beberapa tahun kebelakangan ini. GPK 2024 adalah 4.49, manakala 2023 (4.60), 2022 (4.74) dan 2021 (4.86)," katanya.


Azman berkata demikian pada Sidang Media Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.



Selain itu, katanya, bagi gred purata mengikut lokasi, pencapaian SPM 2024 turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan calon di bandar menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding calon luar bandar.


Katanya, gred purata calon bandar meningkat sebanyak 0.11 mata, manakala bagi calon luar bandar pula peningkatan turut berlaku iaitu 0.09 mata.


“Dalam pada itu, daripada keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan bagi SPM 2024, 59 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala 30 mata pelajaran menurun.


“Bagi satu mata pelajaran prestasi kekal manakala lima lagi mata pelajaran adalah subjek baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu.


"Daripada tujuh subjek teras iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam, hanya Pendidikan Moral yang menunjukkan penurunan prestasi yang tidak signifikan, iaitu sebanyak 0.07 mata.


"Mata pelajaran Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.19 mata, manakala Bahasa Melayu menunjukkan prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.72," katanya.


Menurutnya, seramai 402,918 calon mendaftar peperiksaan SPM bagi 2024, dan bilangan calon menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus atau 6,994 calon berbanding SPM 2023.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page