SPR HANTAR KAD PENGUNDI KEPADA 32,962 PENGUNDI DI PRK PARLIMEN BATU SAPI
5 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar kad pengundi (voter’s card) kepada 32,962 pengundi meliputi 31,152 pengundi biasa dan 1,810 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi Sandakan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
“Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 1 Disember (Selasa) dan hari mengundi biasa pada 5 Disember (Sabtu),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ikmalrudin berkata, SPR meneruskan inisiatif menghantar kad pengundi kepada para pengundi di kawasan itu, bagi menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK Parlimen P.185 Batu Sapi.
Beliau berkata, voter’s card kali ini, SPR meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi.
“SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan. Cadangan masa ini bertujuan mengelak pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.
“Ini selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Ikmalrudin berkata, SPR telah mengedarkan voter’s card mulai 5 November (hari ini) kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen Batu Sapi.
“Pengundi yang telah menerima voter’s card tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.
“SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa voter’s card atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima voter’s card berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.
Semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak> NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.
Comments