top of page
nabalunews

SPRM sahkan panggil ADUN Sabah, jangka rakam keterangan hari ini



17 November 2024


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dipanggil susulan dakwaan rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.


Menurut sumber SPRM, keterangan daripada ADUN berkenaan dijangka dirakamkan hari ini, lapor Berita Harian.


SPRM juga dikatakan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.


Semalam Berita Harian melaporkan ADUN terbabit dikatakan dipanggil SPRM Sabah, namun belum ada sebarang pengesahan atau kenyataan daripada agensi penguat kuasa itu atau ADUN yang berkenaan.


Setakat ini, satu klip audio dan tiga klip video memaparkan perbualan ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.


Antara ADUN yang dikaitkan dengan klip audio itu adalah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Rubin Blang (Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat).


Setakat ini, Dr Yusof, Rubin dan Mohd Arsad sudah memberi penjelasan berhubung klip video itu, termasuk menafikan menerima rasuah berhubung rundingan projek yang dikaitkan dengan perlombongan mineral.


Bagaimanapun, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah enggan memberi komen ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.


Klip memaparkan Menteri Kerja Raya Sabah itu 'ditemu ramah' oleh individu yang dipercayai merakam video berkenaan, didedahkan kelmarin.

Comments


bottom of page