top of page
  • nabalunews

SPRM Tingkatkan Kaedah Siasatan Jenayah Rasuah dengan Teknologi Baharu - Azam Baki

1 Oktober 2024


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini mengambil langkah progresif dengan memperkenalkan penggunaan teknologi canggih dalam kaedah siasatan jenayah rasuah bagi menyesuaikan diri dengan corak jenayah rasuah yang semakin kompleks dan sukar dikesan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berbanding lima tahun lalu, kaedah penyiasatan suruhanjaya kini telah berubah dan ditambah baik dengan penggunaan sistem sumber terbuka (open-source system) yang mampu mengumpul maklumat bagi membina profil seseorang suspek dalam tempoh yang singkat.


Beliau berkata. sistem yang telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa ini membolehkan SPRM melakukan analisis terhadap lokasi suspek serta mengumpul maklumat yang diperlukan sebelum tindakan siasatan lanjut diambil.


"Kini, pegawai kami tidak lagi perlu melakukan pemantauan di lapangan terhadap suspek, yang mungkin memakan masa. Dengan kaedah ini, kami telah mengurangkan keperluan penggunaan tenaga manusia dalam siasatan, sambil meningkatkan kelajuan penyiasatan yang seterusnya banyak membantu dalam proses pendakwaan.


"Kita telah memperkemaskan cara pegawai menjalankan risikan dan siasatan. Jika lima tahun lalu, kami lebih banyak bergantung kepada pegawai risikan di lapangan, kini kami menggunakan sistem yang ada untuk menganalisis serta mengesan suspek," katanya dalam satu wawancara khas bersama media sempena ulang tahun ke-57 SPRM di pejabatnya di sini, baru-baru ini.


Azam menjelaskan bahawa dengan bantuan teknologi tersebut, penyiasatan dan risikan terhadap sesuatu kes dapat dilakukan dengan lebih pantas, teratur, dan lengkap. Ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sabitan dalam kes-kes yang disiasat.


Tambahnya lagi, penggunaan teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses siasatan, tetapi juga meningkatkan ketepatan dan keberkesanan dalam membanteras kegiatan rasuah, yang kini sering melibatkan rangkaian antarabangsa serta taktik yang lebih licik.


Menurut Azam, pihaknya juga sedang melengkapkan pegawai-pegawai SPRM dengan kemahiran dalam bidang keselamatan siber dan mata wang kripto, yang kini menjadi platform baharu digunakan oleh penjenayah yang terlibat dalam rasuah untuk menyimpan wang haram mereka.


"Pengetahuan mengenai mata wang kripto merupakan satu daripada kaedah baharu di mana mereka yang terlibat dalam rasuah menyimpan hasil haram dalam bentuk ini. Pegawai saya sedang dilatih dan dilengkapi dengan ilmu untuk mengesan wang-wang yang disimpan sebagai mata wang kripto, bagi tujuan pendakwaan serta pemulangan kepada kerajaan,” katanya.


Selain itu, Azam berkata, bagi memastikan keselamatan anggota ketika menjalankan operasi di kawasan berisiko dan berbahaya, SPRM telah menubuhkan Pasukan Taktikal SPRM (ACTS), seperti yang dilihat dalam operasi serbuan di Sibu, Sarawak.


Katanya, pasukan tersebut dianggotai oleh 20 pegawai yang lengkap bersenjata terkini dan telah menjalani latihan bersama VAT 69 Komando di Perak.

Comments


bottom of page