top of page

Stiker cukai jalan masih dikeluarkan, cawangan JPJ diarah turun notis tiada cukai jalan fizikal

Wartawan Nabalu News

3 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beberapa cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan turunkan notis tidak mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal.


Beliau berkata beberapa cawangan JPJ yang kehabisan stok pelekat cukai jalan telah menurunkan notis yang tidak tepat dan telah diarah untuk membetulkannya.


"Stiker masih dikeluarkan, cuma ada beberapa cawangan kehabisan stok jadi mereka letak notis tiada lagi cukai jalan fizikal tapi itu bukan keputusan dasar. Jadi kita ambil langkah cepat, apabila kita tahu cawangan itu telah habis stok, kita akan teruskan tempahan stok," katanya pada sidang media.


Beliau berkata arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ Rospiagos Taha kepada cawangan jabatan berkaitan yang mengatakan cukai jalan tidak akan dikeluarkan secara fizikal bermula 1 Ogos 2023 serta memohon pelanggan memperbaharuinya menerusi aplikasi MyJPJ.


Loke berkata Kementerian Pengangkutan belum lagi menetapkan tarikh mutlak bagi transisi cukai jalan fizikal kepada digital sepenuhnya, malah rakyat masih diberi pilihan untuk menggunakan cukai jalan secara fizikal.


"Sementara ini kita akan bagi lagi, tapi akan sampai masa kita kata semuanya akan ditukar kepada digital sepenuhnya, namun keputusan ini belum dibuat, ia akan mengambil tempoh enam bulan hingga setahun sebelum dapat bertukar sepenuhnya kepada digital," katanya.


Beliau berkata setakat ini hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih untuk menggunakan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ.


Loke sebelum ini mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tempatan tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing bermula 10 Feb lepas, sebaliknya boleh menggunakan mod paparan digital.


Katanya langkah pendigitalan JPJ itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, dengan setiap bulan secara purata 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor, dan membawa penjimatan RM96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page