top of page

Stok barang mencukupi untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina

nabalunews

28 Januari 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memastikan semua bekalan barang mencukupi menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina 2025 ini.


Justeru pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa mulai 25 Januari hingga 2 Februari depan kali ini melibatkan 16 jenis barangan berbanding hanya 11 jenis barangan pada musim perayaan lalu.


Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, harga dan kawalan barang di bawah skim berkenaan sudah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini.

Shahril (baju pink) bersama pegawai penguat kuasa KPDN Sabah dan Pengerusi Yayasan Penguna Negara Malaysia cawangan Sabah, David chan memantau harga barangan di salah sebuah pasaraya di Kepayan kelmarin
Shahril (baju pink) bersama pegawai penguat kuasa KPDN Sabah dan Pengerusi Yayasan Penguna Negara Malaysia cawangan Sabah, David chan memantau harga barangan di salah sebuah pasaraya di Kepayan kelmarin

Katanya, ia memberikan jaminan bahawa stok barangan sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.


“Peniaga memaklumkan bahawa stok mencukupi dan pengguna tidak perlu risau asalkan mereka berbelanja dengan bijak dan membandingkan harga,” katanya.


Beliau berkata demikian ditemui media selepas mengadakan pemantauan yang dijalankan bersama Yayasan Pengguna Negara Cawangan Sabah ke salah sebuah pasaraya, di Kepayan, di sini, semalam.

Shahril berkata, pengguna juga diingatkan supaya melaporkan sebarang keraguan atau pelanggaran melalui saluran rasmi, termasuk sistem aduan dalam talian atau panggilan telefon.


Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu harga ayam yang mahal baru-baru ini, Sharil berkata, pemantauan harga dijalankan setiap hari dan laporan menunjukkan keadaan tidak seperti yang digembar-gemburkan.


Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang sah dan mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak disahkan.

“Sepanjang 1 hingga 15 Januari lalu, KPDN Sabah telah memeriksa 4,617 premis dan mengeluarkan 90 kes kompaun berjumlah RM16,900 dengan nilai sitaan RM123,943.70.


“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.


“Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, serta kompaun sehingga RM50,000 bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. Bagi syarikat, denda boleh mencapai RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.


Terdahulu, sebanyak 12 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2025 di Sabah, antaranya ikan bawal putih, udang putih besar, bawang putih (China), lobak merah, lobak putih import dan kubis bulat import.


Turut tersenarai ialah ubi kentang import, halia tua import, kepak ayam, babi hidup (ladang sahaja) dan daging babi (daging dan perut).


Tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu selama empat hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.


Skim Harga Maksimum ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan melibatkan pemborong serta peruncit.


Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page