top of page

STOK PENIMBAL GULA PUTIH BERTAPIS DI SABAH, SARAWAK DAN WP LABUAN BERMULA 1 MEI DEPAN

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read


20 April 2025


PAPAR: Kerajaan sentiasa memantau dan memastikan bekalan barangan keperluan harian rakyat sentiasa mencukupi di pasaran terutamanya ketika permintaan meningkat di musim perayaan.


Ini penting kerana bekalan yang mencukupi juga akan mempengaruhi penawaran harga berpatutan di pasaran.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah khusus itu perlu dilaksanakan untuk menangani isu gangguan bekalan.


Katanya, ia mengambil kira terdapat bekalan barangan keperluan harian di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan yang bergantung sepenuhnya daripada Semenanjung Malaysia.


“Antara barangan terlibat adalah gula putih bertapis yang keseluruhan bekalan diperolehi daripada Semenanjung Malaysia disebabkan tidak wujudnya pengilang di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.


“Ini mengakibatkan berlaku gangguan bekalan gula putih bertapis pada masa tertentu seperti gangguan serius yang pernah terjadi pada bulan Ogos hingga Oktober 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Armizan berkata, ia juga ditambah dengan faktor logistik iaitu penghantaran bekalan melalui perkapalan dari Semenanjung Malaysia yang memerlukan masa lima hari ke Sarawak dan tujuh hari ke Sabah.


“Atas sebab itu, KPDN telah merangka langkah khusus untuk mewujudkan stok

penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.


“Syor ini telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 26 Mac lalu dan susulan keputusan itu, KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada kedua-dua syarikat pengilang di Semenanjung Malaysia iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.


“Jumlah stok penimbal yang ditetapkan adalah pada kadar 1,000 metrik tan (1 juta kilogram) untuk keperluan di Sabah dan WP Labuan dan 1,000 metrik tan untuk keperluan di Sarawak secara berperingkat bermula 1 Mei depan,” katanya.


Armizan berkata, sebagaimana pengukuman sebelum ini, selain penyediaan stok penimbal, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan untuk subsidi pengangkutan perkapalan bagi penghantaran bekalan gula putih bertapis ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan.


Katanya, peruntukan itu melibatkan jumlah RM38 juta setahun, berbanding RM19 juta setahun sebelum ini iaitu peningkatan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.


“Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu juga bersetuju untuk KPDN menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga.


“Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh kementerian, jabatan, agensi serta pemain-pemain industri berkaitan yang akan bersidang sekurang-kurangnya enam kali setahun.


“KPDN berharap usaha bersepadu ini akan terus berupaya menangani isu-isu berkaitan kos sara hidup, kestabilan bekalan dan harga secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page