STR Fasa 2 Disalur Mulai Hari Ini

24 Mac 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 secara berperingkat kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, mulai hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu, dengan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia bakal menerima bantuan sehingga RM650.
Katanya, bantuan tersebut bakal diterima golongan sasar bagi empat kategori, iaitu isi rumah berpendapatan kurang RM2,500, isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, warga emas tiada pasangan dan bujang.
“Bagi isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima bayaran bermula RM150 hingga RM650 dan bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima bantuan RM100 hingga RM300.
“Manakala, bagi kategori warga emas tiada pasangan dan bujang akan menerima RM150,” katanya.
Menurutnya, STR Fasa 2 akan disalurkan menerusi pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan.
Selain itu, katanya, pendekatan terkini kerajaan adalah
membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2025, yang kini mencecah RM13 bilion, adalah usaha berterusan kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.
“Peningkatan peruntukan sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion tahun ini adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama.
“Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam menghadapi kos sara hidup, terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Comments